'Roti canai naik harga akhir bulan ini'
SHAH ALAM - Pengusaha restoran mamak yang beroperasi di Lembah Klang terpaksa menaikkan harga roti canai pada kadar 20 sen hingga 50 sen sekiranya bahan mentah terus meningkat naik.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan bagaimanapun berkata, setakat ini ahli persatuan masih lagi mengekalkan harga lama.
Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi memastikan restoran-restoran berkenaan masih boleh meneruskan operasi seperti biasa, sekali pun purata keuntungan yang diraih mereka sangat kecil.
"Ketika ini, roti canai dijual pada harga RM1.20 hingga RM1.70 sekeping, tetapi harga seguni tepung gandum seberat 25 kilogram sebelum ini dijual pada harga RM45, kini berharga RM65.
“Jika ini tidak dikawal, saya bimbang akan ada sedikit kenaikan harga produk berasaskan gandum oleh 4, 500 ahli Presma di lebih 9, 000 rangkaian restoran mereka pada akhir Jun ini," katanya pada Ahad.
Mengulas lanjut, Jawahar Ali berkata, sebarang kenaikan harga makanan itu akan dirujuk terlebih dahulu kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Bagaimanapun beliau berharap kerajaan segara mencari jalan bagi menyelesaikan masalah itu seperti menambah senarai negara pengeluar gandum untuk mengimport komoditi itu.
"Bukan tepung gandum tetapi kacang dal, minyak masak pun naik namun walaupun naik, majoriti ahli kami masih tidak menaikkan harga makanan, sehingga hari ini harga roti masih belum naik lagi.
"Kalau ada pun dalam jumlah kecil sangat tetapi pada dasarnya kami cuba bertahan sebab kami sekarang bukan beli tepung, kami beli doh yang sudah siap dari pemborong," katanya.
Bagi, peniaga kedai makan di Padang Jawa, Siti Maisarah Zumar, 46, berkata, dia sudah menaikkan harga roti canai pada harga RM1 kepada RM1.20 sejak dua minggu lalu.
"Pelanggan tidak merungut kerana harga roti canai di bandar sudah lama RM1.20 atau RM1.50 dan mereka masih lagi beli sebab mungkin faham dengan keadaan harga barang sekarang naik.
"Sekarang hendak dapat tepung gandum dan minyak masak memang susah, kena pergi banyak kedai bukan seperti dahulu hanya beli di sebuah kedai sahaja," katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, pelanggan masih mengharapkan harga roti canai dapat dikekalkan pada harga antara RM1 sehingga RM1.50 sekeping.
Kakitangan kerajaan, Norazila Ismail, 37, menyifatkan roti canai adalah makanan kebanyakan penduduk dan mereka semua bukanlah orang senang dan jumlah ahli keluarga biasanya juga ramai.
“Ada keluarga yang tidak mampu membeli nasi lemak pada harga RM2 sebungkus untuk 10 ahli keluarganya berbanding 10 roti canai, kalau roti canai naik sudah tentu nasi lemak juga akan naik.
"Kalau mahu dikira, tepung dan minyak masak adalah barang subsidi maka harga roti canai perlu dikekalkan. Malah makanan lain jika mahu naik janganlah terlalu membebankan," katanya.
Bagi, Norizan Ismail, 47, hatinya sentiasa tersentuh dengan ketidakmampuan sebahagian masyarakat, malah ramai yang mengeluh jika harga makanan terus meningkat.
“Saya juga menjalankan perniagaan makanan, ada yang mengeluh apabila kedai saya tutup kerana saya masih mengekalkan harga makanan pada harga lama tanpa sebarang kenaikan sejak dahulu.
"Walaupun harga barang terus naik saya masih mengekalkan harga jualan nasi kerabu pada harga RM6 sebungkus tetapi tidak semua mampu makan nasi kerabu berbanding roti canai," jelasnya.
Sementara itu, seorang suri rumah, Radziah Kamaruddin, 38, dan suaminya, Mohamad Kamal Alias, 45, berpandangan isu kenaikan harga makanan bukan perkara baru malah sentiasa berulang.
"Pada akhirnya pengguna juga yang perlu menanggung beban dan keadaannya berbeza kepada peniaga kerana mereka akan menaikkan harga kerana tidak mahu menanggung kerugian," kata mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!