Nafuzi yakin kemampuan pemain harungi baki Liga Super
PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain yakin dengan kemampuan anak buahnya untuk mengharungi baki Liga Super bermula 18 Jun ini.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki bagi memastikan skuad Penyu muncul sebagai pencabar terkuat liga.
Menurut Nafuzi, selepas melalui tempoh rehat yang panjang susulan penangguhan perlawanan dan perancangan kejohanan dalam jadual FIFA, beliau perlu menyediakan pemain dengan segera dan sebaiknya bagi meneruskan momentum kemenangan dalam siri perlawanan akan datang.
"Saingan pastinya mencabar kerana kita baru sahaja bermain empat perlawanan sebelum liga berehat April lalu, berbanding pasukan lain ada yang sudah (bermain) sembilan perlawanan.
"Jadi jadual pastinya padat, kita perlu sediakan pemain betul-betul untuk hadapi perlawanan. Kena ambil kira (jika berlaku) kecederaan pemain, penggantungan dan sebagainya," katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan antara TFC dengan pasukan Liga Perdana Kemboja, Phnom Penh Crown FC, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam Sabtu.
Dalam pada itu, Nafuzi memaklumkan bahawa TFC masih mengekalkan lima tonggak import iaitu Pape Diakite, Habib Haroon, Manuel Ott dan gandingan penyerang berbisa Kipre Tchetche dan Kpah Sherman bagi mengharungi liga hingga akhir musim ini.
Namun, dalam masa sama, TFC turut membawa masuk pemain sayap Selangor FC Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim secara pinjaman bagi menambah kekuatan dan memberi lebih pilihan pemain di posisi yang diperlukan TFC.
"Selepas Nik Muhammad Sharif, tiada lagi pemain lain yang akan dibawa masuk.
"Tetapi, pemain sayap TFC Muhammad Arif Mohamed Anwar sah meninggalkan pasukan untuk meneruskan kariernya bersama The Cops secara pinjaman untuk baki musim ini," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!