Lima resort beroperasi tanpa kelulusan PBT

Pulau Perhentian. - Foto 123RF (Gambar kecil: Alias)
Pulau Perhentian. - Foto 123RF (Gambar kecil: Alias)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lima resort di Pulau Perhentian yang dikesan tidak menyelenggarakan sisa kumbahan dengan baik masih beroperasi tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, pengusaha resort berkenaan masih berdegil walaupun berulang kali diberikan notis.

"Bangunan dan sisa kumbahan di mana resort berkenaan beroperasi tidak mendapat kelulusan Majlis Daerah Besut (MDB) dan PBT telah berulang kali mengeluarkan notis namun mereka masih ingkar.

"Dua tahun lalu mereka telah dikompaun maksimum sebanyak RM50,000 dan kes ini masih dalam proses tindakan undang-undang," katanya ketika dihubungi, disini, pada Ahad.

Alias berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal berita berhubung kes keracunan makanan yang didakwa berpunca daripada air tercemar akibat sisa kumbahan tidak dirawat di lokasi peranginan itu.

Laporan berkenaan mula tular di media sosial pada Sabtu.

Dalam pada itu, Alias berkata, setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan sama ada kes keracunan yang dialami pelancong tempatan itu mempunyai hubung kait dengan sisa kumbahan.

"Pihak MDB masih menyiasat sama ada kes keracunan makanan itu ada hubungan dengan sisa kumbahan sebagaimana yang didakwa," katanya.

Semalam sebuah portal berita melaporkan enam sekawan mendakwa mereka mengalami keracunan makanan dan jatuh sakit selepas berenang di perairan yang dipercayai tercemar dengan sisa kumbahan tidak dirawat di Pulau Perhentian Kecil, di Terengganu.

Kesemua mereka mendakwa mula muntah-muntah pada malam terakhir ketika menghabiskan masa bercuti selama dua malam di lokasi tarikan pelancong itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!