Trafik sesak, 32,000 kenderaan masuk Port Dickson

Keadaan aliran trafik semasa sekitar tiga petang Ahad yang mengalami peningkatan kenderaan masuk ke Port Dickson. - Foto Bernama
Keadaan aliran trafik semasa sekitar tiga petang Ahad yang mengalami peningkatan kenderaan masuk ke Port Dickson. - Foto Bernama
A
A
A

PORT DICKSON - Aliran trafik di daerah ini sesak sejak Jumaat lepas berikutan pertambahan kenderaan sempena cuti persekolahan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kenderaan yang masuk ke daerah ini pada hujung minggu boleh mencecah 32,000 kenderaan.

"Antara punca lain kesesakan lalu lintas yang dikenal pasti adalah terdapat ekspo di Dataran Telok Kemang. Kenderaan keluar masuk di lokasi tersebut selain aktiviti pantai yang kekurangan kawasan parkir mendorong pengunjung meletak kenderaan di bahu jalan.

"Bagaimanapun, pihak polis tidak membuat lencongan di sepanjang jalan pantai memandangkan bentuk jalan yang sehala dan laluan selorong serta tiada jalan alternatif," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Bagaimanapun beliau berkata, terdapat jalan alternatif di laluan Bypass Pasir Panjang untuk kenderaan menghala ke Telok Kemang.

Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk beriadah bersama rakan-rakan dan ahli keluarga semasa meluangkan masa menikmati keseronokan melakukan aktiviti di pesisiran pantai pada cuti hujung minggu di Pantai Telok Kemang pada Ahad. - Foto Bernama

"Polis trafik dengan kekuatan 15 pegawai dan anggota ditugaskan di lampu isyarat 'hotspot' iaitu di Sua Betong dan Sirusa.

"Selain itu, polis dari Unit Polis Pelancong seramai 19 orang turut ditugaskan untuk melakukan rondaan dan pantauan di kawasan-kawasan tumpuan," katanya.

Sehubungan itu, Aidi Sham menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Polis turut melakukan rondaan di sekitar pantai Port Dickson. - Foto IPD Port Dickson
Polis turut melakukan rondaan di sekitar pantai Port Dickson. - Foto IPD Port Dickson

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!