Cabaran Harimau Muda di Uzbekistan berakhir
SKUAD Harimau Muda terpaksa pulang lebih awal selepas tumpas 0-3 kepada sensasi Asia Tenggara, Thailand pada aksi kedua Kumpulan C Kejuaraan Piala Asia B-23 2022 di Stadium Bunyodkor, Tashkent, Uzbekistan pada Ahad.
Kekalahan kedua berturut-turut dialami skuad Bawah 23 (B-23) negara selepas dibelasah 1-4 gergasi Asia yang juga juara bertahan, Korea Selatan Khamis lalu menutup peluang skuad asuhan Brad Maloney itu untuk mengulangi pencapaian terbaik dengan layak ke suku akhir pada edisi 2018.
Harimau Muda yang bermula dengan baik hampir mengejutkan Gajah Perang, namun sepakan leret kapten pasukan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi sedikit tersasar ke sebelah kiri gawang gol pada minit ketiga, manakala rembatan Nik Akif Syahiran Nik Mat tepat ke dakapan Nopphon Lakhonphon seminit kemudian.
Bagaimanapun, Harimau Muda yang gagal meneruskan asakan serta mula ketandusan idea untuk merobek gawang skuad Gajah Perang, dihukum pada minit ke-23 menerusi gol pembukaan oleh penyerang Suphanat Mueanta.
Mueanta, yang bijak melepasi perangkap ofsaid benteng pertahanan negara untuk menyempurnakan hantaran jauh Channarong Promsrikaew, melepaskan sepakan kaki kanan biarpun percubaannya dibias Harith Haiqal sebelum bola menerjah jaring Malaysia.
Babak kedua, Thailand meningkatkan tempo permainan sebaliknya Malaysia kian tenggelam walaupun Maloney membawa masuk Mohd Aiman Afif Md Afizul dan pemain kelab Jepun, Azul Claro Numazu, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak untuk cuba mengubah nasib skuad negara.
Peluang terbaik Malaysia hadir pada minit ke-60 menerusi Hadi Fayyadh, namun gagal memanfaatkan situasi satu lawan satu selepas sepakan lencongannya diselamatkan Lakhonphon.
Malang terus menimpa Harimau Muda apabila Promsrikaew yang tidak dikawal benteng pertahanan negara mudah menolak masuk hantaran dari sebelah kanan oleh Nicholas Mickelson untuk menggandakan jaringan Gajah Perang pada minit ke-69.
Gawang Harimau Muda negara terus bocor apabila Mueanta tenang meledak gol keduanya selepas menerima lorongan pemain Oxford United, Benjamin Davies selang empat minit kemudian.
Mueanta hampir mencetak jaringan hatrik, namun sepakan volinya dinafikan tiang sebelah kiri gol negara pada minit ke-81 dan kedudukan itu kekal sehingga perlawanan tamat.
Sementara itu, Vietnam bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Korea Selatan 1-1 dalam satu lagi aksi Kumpulan C.
Thailand yang memiliki kelebihan perbezaan jaringan memintas Korea Selatan untuk mengungguli Kumpulan C biarpun berkongsi empat mata diikuti Vietnam dengan dua mata dan Malaysia pula di tangga tercorot tanpa sebarang mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!