KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun menjadi mangsa pemuas nafsu serakah bapa tirinya apabila dipercayai dirogol di rumah mereka, di sini. Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku tiga kali antara Febuari sehingga Jun tahun lalu itu hanya diceritakan mangsa kepada ibunya pada Selasa lalu sebelum membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada hari sama. "Mangsa mendakwa dirogol bapa tirinya sejak Febuari tahun lalu di dalam bilik rumah mereka semasa ibunya tiada di rumah. "Dia mendakwa sepanjang tempoh Febuari hingga Jun tahun lalu, sudah tiga kali suspek melakukan perbuatan keji itu kepadanya," katanya ketika dihubungi hari ini. Sumber berkata, mangsa mendakwa takut hendak berkongsi kejadian itu terutamanya kepada ibunya kerana diugut suspek setiap kali melakukan perbuatan tersebut. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian dan tangkapan suspek. "Kes disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana merogol yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan," katanya. Sebelum ini, menerusi Twitter, seorang lelaki memuat naik satu status mengenai suspek yang didakwa merogol anak kandung kenalannya termasuk menyebarkan beberapa keping gambar suspek.