Kenyataan anti-Islam BJP, Qatar tuntut permohonan maaf India

No Image Caption
A
A
A

NEW DELHI - Qatar menuntut permohonan maaf daripada India susulan kenyataan ahli politik parti pemerintah India baru-baru ini yang didakwa menghina Islam.

Kuwait bersama Iran, Arab Saudi dan negara Islam lain pada Ahad turut mengecam kenyataan itu.

Kementerian Luar Qatar telah memanggil duta India untuk menyampaikan nota bantahan berikutan kenyataan yang dikeluarkan anggota Parti Bharatiya Janata (BJP) yang disifatkan 'boleh mencetuskan kebencian agama'.

Nota bantahan itu disampaikan Menteri Hal Ehwal Luar, Soltan Saad Al Muraikhi.

Sementara itu jurucakap kementerian Majed Mohammed Al Ansari berkata, Qatar menyeru kerajaan India untuk segera mengecam kenyataan itu dan memohon maaf secara terbuka kepada semua umat Islam di dunia, memetik laporan Agensi Berita Qatar.

Menurut Kementerian Luar Qatar, penghinaan itu menunjukkan kejahilan tentang peranan penting Islam dalam pembangunan tamadun di seluruh dunia, termasuk di India.

Sehubungan itu BJP pada Ahad menggantung Nupur Sharma yang dikatakan telah membuat kenyataan menghina dalam debat televisyen dan Naveen Jindal atas komennya di media sosial.

"BJP mengecam sekeras-kerasnya penghinaan terhadap mana-mana personaliti mana-mana agama,” memetik kenyataan parti itu.

Kementerian Luar Arab Saudi dalam satu kenyataan turut mengecam kenyataan yang dibuat jurucakap BJP yang disifatkan menghina Nabi Muhammad.

Susulan itu juga, Kementerian Luar Iran turut memanggil duta India ke Iran. Kementerian Luar Kuwait juga dilaporkan telah menyerahkan nota bantahan kepada duta India di Kuwait.

Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, imam Masjidil Haram di Mekah Sheikh Abdul Rahman Al Sudais, setiausaha agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Nayef Falah Mubarak Al Hajraf dan jurucakap kerajaan sementara Afghanistan Zabihullah Mujahid adalah antara yang turut mengutuk kenyataan provokasi itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!