Nadal belum pasti sertai Wimbledon

Nadal bersama trofi yang dimenanginya pada Terbuka Perancis kali ini. - foto EPA
Nadal bersama trofi yang dimenanginya pada Terbuka Perancis kali ini. - foto EPA
A
A
A

SETELAH melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara Terbuka Perancis 2022, bintang tenis Sepanyol, Rafel Nadal masih belum membuat keputusan untuk menyertai Kejohanan Wimbledon tidak lama lagi.

Menurut Nadal, untuk menyertai kejohanan berprestij itu, dia perlu memastikan dirinya berada pada tahap kecergasan terbaik dan bersedia untuk mengharungi cabaran lebih sengit kelak.

“Saya akan sertai Wimbledon jika tubuh badan saya ‘bersedia' untuk mengharungi tentangan sengit daripada pemain-pemain tenis lain.

“Oleh itu, saya kini sedang berusaha untuk memastikan prestasi dan kecergasan saya berada pada tahap terbaik.

“Dalam masa sama, saya juga mahu belajar untuk mengatasi rasa gemuruh setiap kali beraksi” katanya.

Untuk rekod, Nadal yang juga pemain nombor lima dunia ketika ini melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara Terbuka Perancis 2022 setelah menewaskan pemain Norway, Casper Ruud di pada Ahad.

Kemenangan 6-3, 6-3, 6-0 dalam masa 2 jam 18 minit itu sekali gus menyaksikan Nadal melakar kemenangan ke-14 pada kejohanan berkenaan selain gelaran Grand Slam ke-22 secara peribadi.

Mengulas kejayaan berkenaan Nadal berkata, ia merupakan antara kejayaan terindah sepanjang kariernya selaku pemain tenis profesional.

Malah menurut pemain nombor lima dunia itu kejayaan berkenaan membuatkannya terpaksa memikirkan semula hasrat untuk ‘menggantung raket’ tidak lama lagi.

“Kejayaan-kejayaan yang saya kecapi setakat ini adakalanya membuatkan saya terfikir apakah benar saya bakal bersara tidak lama lagi?

“Tetapi, melihatkan kepada kejayaan-kejayaan sejak akhir-akhir ini, saya rasa perkara itu (bersara), mungkin tidak berlaku.

“Lagi pun, saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Oleh itu, saya terus beraksi selagi terdaya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!