Tak sangka mimpi tawaf dua kali jadi petanda

Saaid dan Noorfaridah melakukan persediaan di rumahnya di Taman Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang pada Isnin sebelum berlepas ke Tanah Suci pada 22 Jun ini.
Saaid dan Noorfaridah melakukan persediaan di rumahnya di Taman Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang pada Isnin sebelum berlepas ke Tanah Suci pada 22 Jun ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Seorang bakal jemaah haji tidak menyangka mimpi melakukan tawaf sebanyak dua kali tahun lalu menjadi petanda dia dan isteri 'dipanggil' ALLAH untuk melakukan ibadah haji tahun ini.

Saaid Hamdan dan isteri, Noorfaridah Basri, masing-masing berusia 41 tahun yang akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) Kulai pada 22 Jun ini tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

"Saya tidak menyangka dan terkejut dapat menunaikan haji pada tahun ini. Sebelum ini sudah dua kali saya dipanggil untuk menunaikan haji pada 2008 dan 2009 tetapi terpaksa menolaknya.

"Semasa kali pertama dipanggil untuk menunaikan haji, kewangan tidak berapa stabil kemudian pada kali kedua isteri saya sedang mengandung anak kedua," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Tanjung Puteri Resort di sini pada Isnin.

Saaid yang bekerja di kilang sebuah syarikat antarabangsa di sini bersyukur dapat mengerjakan haji walaupun terpaksa menundanya sebelum ini.

Bapa kepada tiga anak berusia lima hingga 15 tahun itu berharap mereka dikurniakan haji mabrur dan semua ibadah diterima ALLAH SWT.

Bagaimanapun Saaid mengakui sedih kerana terpaksa meninggalkan anak-anaknya di bawah jagaan adiknya.

"Peluang ke Tanah Suci ini akan menjadi kenangan paling indah dalam hidup kami dan sentiasa berdoa diberikan kesihatan yang baik serta mampu melakukan ibadat itu dengan sempurna," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!