Rumah peranginan 'ditelan' laut

Hakisan menyebabkan pusat peranginan Kekunang Tering Chalet musnah dan sebahagiannya 'ditelan' laut.
Hakisan menyebabkan pusat peranginan Kekunang Tering Chalet musnah dan sebahagiannya 'ditelan' laut.
A
A
A

PEKAN - Seorang pengusaha sebuah pusat peranginan di Tanjung Batu, Nenasi tidak mampu lagi melihat rumah penginapan yang diusahakan kira-kira enam tahun lalu 'ditelan' laut akibat hakisan pantai dalam kejadian sepanjang tempoh tiga tahun.

Berkongsi kejadian itu, Izal Muddin Hassan, 50, yang mengusahakan Kekunang Tering Chalet berkata, kejadian berlaku apabila peralihan monsun dan fenomena air pasang besar lima tahun lalu.

Menurutnya, ombak kuat membadai menyebabkan 0.4 hektar kawasan pelancongan yang diusahakan bersama rakannya, Edde Firdaus Abdul Aziz, 42, musnah termasuk rumah penginapan dihanyutkan ombak.

"Sebelum ini, jarak antara pantai dengan rumah peranginan kira-kira 100 hingga 110 meter tetapi dalam masa tiga tahun sahaja, hampir semua kawasan rumah penginapan sudah bertukar menjadi laut," katanya ketika ditemui di Pantai Tanjung Batu, Nenasi di sini pada Isnin.

Izal Muddin memberitahu, kawasan seluas 1.2 hektar di pesisir pantai itu dibeli pada harga RM300,000 dan modal tambahan sebanyak RM300,000 di laburkan untuk pelbagai kemudahan bagi mengindahkan rumah penginapan terbabit.

"Semua chalet, bangunan pentadbiran, tandas dan kedai serta kawasan letak kenderaan musnah dan berada dalam laut.

"Saya terpaksa menanggung kerugian yang banyak akibat fenomena ini tetapi terpaksa reda dengan apa yang berlaku," ujarnya.

Izal Muddin melihat rumah penginapan yang diusahakan bersama seorang rakan musnah.
Izal Muddin melihat rumah penginapan yang diusahakan bersama seorang rakan musnah.

Izal Muddin memberitahu, usaha mereka meletakkan Kekunang Tering Chalet sebagai produk pelancongan bertaraf antarabangsa berjaya selepas tiga tahun beroperasi.

"Rumah penginapan ini sememangnya menjadi satu tarikan unik yang jarang ada di tempat lain terutama keistimewaannya dipenuhi kunang-kunang pada waktu malam.

Izal Muddin berkata, setiap kali monsun dan fenomena air pasang besar air laut memenuhi kawasan rumahnya kira-kira 60 meter dari pantai Tanjung Batu.

Tambahnya, kawasan pantai Tanjung Batu hingga ke Rompin dikatakan antara sebab kejadian hakisan selain perubahan iklim dunia.

"Saya difahamkan kerja mengawal kejadian hakisan kawasan pantai Tanjung Batu akan dimulakan bulan ini (Jun) oleh agensi kerajaan bertanggungjawab.

"Saya berharap projek berkenaan dapat mengawal kejadian hakisan daripada terus berlaku yang menyebabkan kerugian kepada penduduk setempat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!