Warisan akan heret ADUN Kukusan ke mahkamah

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Warisan akan mengheret Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal ke mahkamah susulan tindakan beliau keluar daripada parti itu pada Ahad.

Naib Presiden Warisan, Datuk Jaujan Sambakong berkata, tindakan sama diambil sebagaimana kepada bekas wakil rakyat Warisan sebelum ini yang menyertai parti pemerintah.

Datuk Jaujan Sambakong
Datuk Jaujan Sambakong

"Kesemua mereka sebelum dilantik sudah terikat dengan peraturan parti ketika melafazkan sumpah taat setia sebelum dipilih mewakili Warisan ketika bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16).

"Dalam watikah pelantikan tersebut mereka bersetuju untuk menghormati serta akur untuk meletakkan jawatan sekiranya beralih sokongan sekali gus melompat parti selepas PRN lalu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Kenyataan itu bagi mengulas tindakan bekas Naib Ketua Wirawati yang bertindak keluar Warisan dan menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).

Tambah Jaujan lagi, jika betul ingin berjuang demi rakyat, mereka harus jadi wakil rakyat bebas tanpa menyertai mana-mana pemerintah dan bergerak secara bersendirian.

Sementara itu, Jaujan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan turut meminta pihak berkaitan menghentikan tindakan menawarkan imbuhan kepada wakil rakyat, sebaliknya fokus kepada pembangunan rakyat di negeri ini.

Katanya, tindakan itu seolah-olah membelakangkan proses demokrasi sekali gus menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada sistem pilihan raya yang diamalkan di negara ini.

"Tindakan memberi tekanan kepada wakil rakyat terutama pembangkang dengan menawarkan imbuhan bagi terus mengekalkan kuasa adalah perkara sangat menjijikkan.

"Tindakan ini seolah-olah trend untuk mengekalkan kuasa. Sasaran mereka ialah wakil rakyat yang mengalami masalah kewangan sehingga lupa kepada tanggungjawab utama ketika mandat diberikan rakyat dalam PRN16 yang lalu," katanya.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Ahad turut memaklumkan Rina akan turut menerima nasib yang sama dengan lima ADUN yang sudah keluar daripada Warisan sebelum ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!