'Sekejap ada, sekejap tiada air di Pasar Siti Khadijah'

Mohamad Hisyamudin Jusoh, 31, (dua dari kanan) menggunakan air untuk membasuh ayam yang akan dijual kepada pelanggan.
Mohamad Hisyamudin Jusoh, 31, (dua dari kanan) menggunakan air untuk membasuh ayam yang akan dijual kepada pelanggan.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Lebih 300 peniaga di Pasar Siti Khadijah di sini mendakwa menghadapi kesukaran susulan berlaku gangguan bekalan air di lokasi perniagaan itu sejak empat hari lalu.

Seorang peniaga ayam, Mohamad Hisyamudin Jusoh, 31, berkata, akibat gangguan bekalan air itu dia terpaksa mengangkut air dari surau di pasar berkenaan untuk dibawa ke gerai miliknya dalam bangunan pasar itu.

"Sekejap ada air, sekejap tak ada air. Dua hari lepas pula langsung tiada air.

"Sebagai peniaga ayam saya menghadapi kesukaran kerana saya memerlukan air untuk membersihkan ayam sebelum jual kepada pelanggan dan membasuh tempat berniaga selepas digunakan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pasar Siti Khadijah, pada Isnin.

Seorang peniaga ikan, Mohamad Jabar Mat Yacob, 32, pula berkata, dia mengambil inisiatif sendiri membeli sebuah tong air berkapasiti 200 liter dan diletakkan di depan pasar basah untuk kegunaan peniaga.

“Semasa ada bekalan air, tong ini digunakan untuk menadah air sebagai persediaan kegunaan semua peniaga jika terputus bekalan air," katanya.

Peniaga sup perut air asam Sarina Solleh, 51, pula berkata, selama sembilan tahun berniaga di pasar itu, Sabtu lalu adalah pertama kali bekalan air tidak ada langsung.

“Saya terpaksa angkut air sebanyak 15 gelen dari rumah saya di Tumpat menggunakan kenderaan sendiri dan bawa naik ke tingkat satu bangunan pasar ini untuk berniaga," katanya.

Sementara itu, seorang penjual ubat, Ag Hamad Mat Ali, 72, berkata, dia membawa air minuman sendiri dari rumah kerana bimbang kedai makan di pasar itu tutup akibat gangguan air.

Sementara itu, Sinar Harian cuba menghubungi pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengenai dakwaan masalah bekalan air tersebut dan masih menunggu maklum balas daripada pihak berkenaan.

Dalam pada itu, tinjauan ke pasar itu mendapati pengunjung terdiri daripada pelancong dari negeri luar Kelantan mula tiba seawal jam 8 pagi.

Mereka datang dari negeri seperti Kedah, Selangor, Pahang dan Johor untuk membeli-belah di pasar terkenal di Kelantan itu.

Bagaimanapun berdasarkan tinjauan Sinar Harian, terdapat pengunjung yang mengeluh kerana dua daripada empat tandas awam perempuan terletak di belakang pasar tersebut mula turut menghadapi gangguan bekalan air.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!