MPKK diminta jangan prasangka politik

Seramai 569 Pengerusi dan Setiausaha MPKK dari 10 daerah di Pahang menghadiri kursus induksi tersebut.
Seramai 569 Pengerusi dan Setiausaha MPKK dari 10 daerah di Pahang menghadiri kursus induksi tersebut.
A
A
A

KUANTAN - Pemimpin tidak seharusnya dibelenggu prasangka politik kepada ahli kariah, sebaliknya profesional menjalankan urus tadbir kampung bagi mengelakkan kesusahan untuk bekerjasama dengan rakyat, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan kerajaan negeri.

Exco Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram berkata, ia juga bagi memastikan sebarang aktiviti berfaedah terutama dianjurkan MPKK atau agensi kerajaan dapat dinikmati semua penduduk.

"Kita perlu profesional dalam menjalankan tadbir urus kampung dan kerja-kerja berkaitan masyarakat untuk memberi perkhidmatan saksama kepada semua. Berfikir secara waras yang penting untuk memajukan kampung kita.

“Kalau kita ada prasangka buruk, akan bermasam muka dan payah untuk bekerja. Di kampung jangan ada prasangka buruk terhadap persekitaran. Sebarang aktiviti berfaedah terutama MPKK dan agensi kerajaan perlu dinikmati semua penduduk tanpa mempedulikan fahaman politik," katanya.

Menurutnya, rakyat yang diselia dan ditadbir tidak boleh dinafikan hak untuk mendapat kemudahan disediakan kerajaan seperti penyediaan infrastruktur lengkap berkualiti, akses pendudukan dan kesihatan serta bantuan lain untuk meningkatkan kesejahteraan.

"Jika MPKK mempunyai prasangka politik yang tinggi maka akan lebih banyak dan lebih payah kerja-kerja kemasyarakatan untuk dilaksanakan," katanya ketika berucap dalam Program Interaksi Pemimpin Bersama MPKK Negeri Pahang 2019 di sini, hari ini.

Seramai 569 Pengerusi dan Setiausaha MPKK dari 10 daerah di negeri ini mengikuti kursus selama dua hari anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Institut Kemajuan Desa (INFRA).

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, MPKK diminta untuk memberikan penekanan mengenai kewangan dalam pentadbiran dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimana nak mencari dan menyusun kewangan untuk pastikan organisasi kuat dari segi ekonomi. Atas pengalaman saya ada jawatan kuasa kampung dahulunya disebut JKKK yang mempunyai duit melebihi RM1juta termasuk menerusi penubuhan koperasi.

“Fikir dan rancang sebagaimana mereka menguruskan ekonomi. Sama ada melabur, menyediakan koperasi dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, penambahan elaun MPKK dari dana kerajaan negeri boleh dirujuk kepada pihak pihak berkaitan jika mempunyai pendapat yang baik.

“Jika kita (kerajaan negeri) ada duit (pendapatan) sekali ganda lagi, kita akan panjangkan penambahan elaun MPKK ini. Kita pun dalam usaha mencari pendapatan negeri daripada perkara lain dan boleh merancang negeri kita dengan baik lagi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!