[VIDEO] Nahas lima kenderaan: Pemandu Myvi ditahan positif dadah

Tular di media sosial selepas rakaman kamera papan pemuka kenderaan kemalangan membabitkan lima kenderaan dimuat naik di media sosial.
Tular di media sosial selepas rakaman kamera papan pemuka kenderaan kemalangan membabitkan lima kenderaan dimuat naik di media sosial.
A
A
A

SEREMBAN - Polis menahan pemandu Perodua Myvi yang menyebabkan nahas membabitkan empat kenderaan lain di Kilometer 243.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, ujian air kencing terhadap pemandu lelaki berusia 28 tahun itu telah dibuat dan mendapati dia positif dadah.

"Lelaki berkenaan yang merupakan penganggur direman selama empat hari bermula Isnin.

"Kes seterusnya disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kejadian kira-kira jam 10.40 pagi itu tular di media sosial selepas rakaman 'dashcam' kemalangan membabitkan lima kenderaan dimuat naik di media sosial.

Menerusi satu lagi rakaman yang dimuat naik memaparkan sekumpulan penunggang motosikal berada di lokasi dan mendakwa terkejut menemui satu botol minuman yang dipercayai mungkin diisi dengan bahan terlarang.

Lelaki berkenaan juga seperti berada dalam keadaan separa sedar ketika ditanya oleh sekumpulan penunggang berkenaan.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan lima kenderaan terlibat nahas selepas salah satu kenderaan berkenaan hilang kawalan di Kilometer 243.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan pada Ahad.

Bagaimanapun, polis mengesahkan tiada sebarang kecederaan dilaporkan membabitkan pemandu dan penumpang kenderaan terlibat.

Kes disiasat di bawah Peraturan 10 LN 166/59 dan siasatan lanjut diteruskan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!