PBAKL 2022 mampu capai sasaran lebih 700,000 pengunjung
KUALA LUMPUR - Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 (PBAKL 2022) yang bermula Sabtu lepas mendapat sambutan menggalakkan dengan menerima kedatangan lebih 50,000 pengunjung sehari, selepas dua tahun dilaksanakan secara dalam talian ekoran pandemik Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2022, Mohd Khair Ngadiron berkata, berdasarkan jumlah tersebut, beliau yakin sasaran 700,000 sehingga sejuta pengunjung dapat dicapai.
"Pada mulanya kita risau juga PBAKL 2022 ini tidak dapat sambutan, risau orang ramai masih takut nak keluar rumah selepas pandemik Covid-19. Mungkin disebabkan kerinduan rakyat Malaysia terhadap buku, sambutan kali ini menjadi sangat luar biasa," katanya kepada Bernama di sini.
Beliau berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi mencapai sasaran itu antaranya mempromosikan pesta buku tersebut di media sosial, meletakkan gegantung dan papan iklan di sekitar Lembah Klang.
Mohd Khair berkata, PBAKL 2022 menampilkan kelainan dari segi pengisian program, selain buat julung kali diadakan secara hibrid iaitu gabungan secara fizikal bermula 3-12 Jun, manakala secara dalam talian bermula 1-15 Jun bagi memberi ruang kepada seluruh rakyat Malaysia menyertai acara berkenaan.
"Dari segi pengisian program, pelbagai aktiviti diadakan sepanjang hari seperti pertunjukan buku, bual bicara dan sebagainya. Kita juga adakan program Laman Santai Seni yang melibatkan pemuisi dan penyanyi untuk menarik minat orang ramai," katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung M. Shavinashiny, 16, yang pertama kali menghadiri pesta buku itu berasa teruja kerana dapat bertemu dengan ramai penulis buku.
"Saya datang ke sini untuk mencari buku rujukan pelajaran serta novel. Saya sangat gembira dapat bertemu ramai orang termasuk penulis di sini," katanya.
Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Abd Raziq Ghazali, 22, berkata, penganjuran PBAKL 2022 secara fizikal mengimbau kembali kemeriahan pesta buku itu seperti sebelum negara dilanda wabak Covid-19.
"Kali terakhir saya menghadiri PBAKL ialah pada 2019 dan saya sangat gembira akhirnya ia diadakan secara fizikal semula selepas dua tahun,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!