Anggota polis disyaki membunuh

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd mengesahkan tangkapan seorang anggota polis di Batu Pahat berhubung penemuan mayat seorang lelaki yang ditanam di belakang rumahnya.

Penahanan lans korperal itu dilakukan selepas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Batu Pahat menemui mayat itu kira-kira jam 5.30 petang, semalam.

"Siasatan dilakukan selepas polis menerima laporan memaklumkan kehilangan mangsa yang dibuat isterinya di Balai Polis Tongkang Pechah, Batu Pahat.

"Berdasarkan laporan, mangsa dimaklumkan menghilangkan diri sejak 18 Mac lalu selepas kali terakhir berada di rumah keluarganya di Kampung Tambah Mukim 3, Peserai," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut dilakukan kemudiannya menjurus kepada suspek sebelum lelaki berusia 37 tahun itu menunjukkan tingkah laku yang mencurigakan ketika memberikan keterangan.

"Suspek menunjukkan sesuatu yang mencurigakan ketika ditanya mengenai kehilangan mangsa. Selepas soal siasat, polis kemudiannya dibawa ke rumahnya di Min Garden, Bandar Putera Indah, Tongkang Pechah.

"Pemeriksaan kemudiannya mendapati terdapat timbunan tanah yang masih merah di belakang rumah suspek sebelum menemui mayat lelaki itu di sana," katanya.

Mohd Khalil berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selain turut memaklumkan suspek sebelum ini turut mempunyai rekod kerana penyalahgunaan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Suspek yang ditahan juga didapati positif dadah jenis methampetamine. Berdasarkan rekod, dia juga kini berada di bawah skim kawalan disiplin dan dadah (SKDDD) kerana masalah itu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!