Masalah bekalan air bersih, penduduk terpaksa guna air bukit, sungai

Siti Solehah (dua dari kanan) sedang membersihkan rebung jualannya sambil ditemani Siti Zulaikha Mohd Ridzuan, 12, (kiri) yang sedang mencuci pakaian di sebatang sungai di Kampung Wang Perah, Jitra pada Isnin.
Siti Solehah (dua dari kanan) sedang membersihkan rebung jualannya sambil ditemani Siti Zulaikha Mohd Ridzuan, 12, (kiri) yang sedang mencuci pakaian di sebatang sungai di Kampung Wang Perah, Jitra pada Isnin.
A
A
A

KUBANG PASU - Kira-kira 500 penduduk di Kampung Wang Perah, Jitra di sini kecewa kerana terpaksa bergantung kepada air bukit hampir tiga bulan lalu sejak mengalami masalah bekalan air bersih dari paip Syarikat Air Darul Aman (SADA).

Penduduk, Mohd Naser Mohd Nor, 59, berkata, masalah air di kampung mereka mula berlarutan sejak dua buah tangki tambahan SADA siap dibina dalam tempoh terbabit.

Menurutnya, ketika diawal pembinaan tangki terbabit, mereka dijanjikan akan menerima bekalan air bersih dari SADA dengan lebih baik.

"Tetapi bila dah siap, terus tak ada air pula, mujurlah di kampung kami masih ada sumber air bukit, jadi kami gotong-royong untuk baik pulih paip supaya air bukit ini dapat disalurkan ke setiap rumah," katanya ketika ditemui di Kampung Wang Perah di sini pada Isnin.

Menurutnya, setiap kali ada kenduri di kampung berkenaan mereka terpaksa menyelenggara paip air bukit terbabit untuk memastikan ia tidak tersumbat.

"Tadahan di atas bukit itu pun bukan besar, kecil sahaja kalau tak diselenggara, air tak jalan juga.

"Jadi kami terpaksa kutip duit RM5 sebulan dari setiap rumah di sini untuk tampung kos penyelenggaraan," katanya.

Penduduk kampung bergotong-royong menyelenggara paip air bukit yang disalurkan ke rumah penduduk.
Penduduk kampung bergotong-royong menyelenggara paip air bukit yang disalurkan ke rumah penduduk.

Tambah Mohd Naser, rasa kecewa sangat mendalam dalam hati penduduk di kampung berkenaan apabila terpaksa menghadapi masalah terbabit.

"Memang kami bersyukur masih ada air bukit tapi sampai bila nak bergantung kepada air ini. Kalau cuaca kering, air tak ada.

"Kadang-kadang musim hujan, air jadi keruh pula. Sumber air pun terhad, ada juga rumah yang tak dapat air bukit walaupun pada siang hari," katanya.

Teh idris, 75, berkata, tinggal seorang diri dengan masalah bekalan air menyebabkan kesihatannya sering terganggu akibat perlu berjaga malam.

"Air paip SADA langsung tak ada, air bukit pun malam-malam baru ada. Jadi saya terpaksa bangun pukul 2 pagi untuk tadah air.

"Kadang-kadang kalau tak larat dan cuaca hujan saya tadah saja air hujan untuk buat basuh baju dan pinggan mangkuk," katanya.

Bagi Siti Zubaidah Ayub, 56, aduan telah dipanjangkan berkali-kali kepada pihak SADA, namun masalah terbabit masih membelenggu mereka saban hari.

"Anak saya, (Siti Shakira Sukri, 28) kerap buat aduan sebab tak tahan dia pula ada anak kecil, nak mandi anak pun susah.

" Tiap kali buat aduan mereka janji nak datang baiki tapi kita tengok keadaan masih sama juga," katanya.

Siti Zubaidah berkata, pada Hari Raya Aidilfitri yang lalu, mereka terpaksa menempah makanan dari luar dan menggunakan pinggan mangkuk dan cawan pakai buang.

"Masa itu ramai yang balik kampung, air bukit pun sekejap ada, sekejap tak ada. Kalau hujan, kami tadah air hujan sahaja untuk membasuh," katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di kampung terbabit turut menemui sekumpulan penduduk sedang membasuh pakaian dan mandi-manda di anak sungai di situ.

Siti Solehah Hiddayah Rani, 23, berkata, akibat masalah itu, dia bersama penduduk kampung sudah biasa membasuh pakaian selain membersihkan barangan memasak di sungai.

"Memang sudah jadi perkara biasa kalau nampak orang kampung cuci pakaian di sungai sebab di rumah tidak ada air.

"Sungai ni panjang, jadi ada beberapa tempat yang jadi tempat penduduk berkumpul membasuh pakaian dan mandikan anak-anak.

"Jangankan cuci pakaian dan mandi, menyiang ikan pun kami buat di sini. Kalau hari sekolah, ada orang kampung angkut air sungai balik ke rumah untuk anak-anak mereka mereka mandi pagi," katanya.

Nor Hayati Md Zain, 50, berkata, majoriti penduduk di kampung berkenaan adalah warga emas dan masalah berkenaan menambah beban mereka dalam menjalani kehidupan seharian.

"Ramai yang uzur, mereka selalu minta tolong saya angkut air sebab nak bergerak pun susah apa lagi nak angkut air.

"Jadi saya harap pihak SADA dapat selesaikan masalah kami dan dua buah tangki tambahan yang telah siap itu dapat digunakan sebaiknya untuk kami mendapat air terawat," katanya.

Dalam pada itu, jurucakap SADA ketika dihubungi berkata, pihak SADA ambil maklum masalah berkenaan dan sedang mendapatkan maklumat lanjut.

Nor Hayati menunjukkan tangki air SADA yang siap dibina baru-baru ini di Kampung Wang Perah, Jitra.
Nor Hayati menunjukkan tangki air SADA yang siap dibina baru-baru ini di Kampung Wang Perah, Jitra.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!