'Ayah, ibu teruja sangat nak pindah rumah baharu tapi...'

Munirah (kanan) ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Jasin di sini, pada Isnin.
Munirah (kanan) ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Jasin di sini, pada Isnin.
A
A
A

JASIN - Hasrat sepasang suami isteri orang kurang upaya (OKU) kategori pekak dan bisu untuk berpindah ke rumah baharu tidak kesampaian setelah maut dirempuh pemandu mabuk di Jalan Serkam Pantai, Merlimau, di sini awal pagi Isnin.

Anak kedua kepada pasangan terbabit, Munirah Izuddin, 21, memberitahu, dia dan adik-beradik hanya mengetahui insiden yang menimpa ibu bapanya melalui 'Group WhatsApp' keluarga apabila ada individu yang menggunakan telefon bimbit ibu, Surayah Muhamat, 48, telah menghantar mesej 'tuan punya telefon terlibat dalam kemalangan meninggal dunia.'

Menurutnya, pada mulanya beranggapan kemungkinan telefon bimbit ibunya tercicir namun luluh hati apabila melihat jasad ibu bapa telah ditutupi kain di atas jalan ketika tiba di lokasi kejadian.

Katanya, sedih kerana rumah baharu mereka di Sebatu, Sungai Rambai telah 90 peratus siap dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk berpindah selain arwah telah membeli beberapa perkakas elektrik dan kelengkapan rumah baharu.

"Ayah dan ibu teruja sangat nak pindah rumah baharu kerana selama ini kami tinggal di rumah pusaka nenek di Tambak Bugis dan tak pernah ada rumah sendiri.

"Ayah pun pernah kata nanti dah tua nak habiskan masa bersama ibu di rumah sendiri namun semua hajat itu tidak tercapai," katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Jasin di sini, pada Isnin.

Tambah Munirah, kedua-dua arwah ibu bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan namun sempat meraikan rakan bapa yang datang bercuti ke Melaka.

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian

"Semalam seharian kami sekeluarga berjalan bersama-sama rakan arwah ayah di sekitar bandar Melaka.

"Cuma sejak kebelakangan ini arwah ayah yang sebelum ini sering memakai pakaian berwarna hitam gemar memakai pakaian putih," katanya yang mempunyai enam beradik.

Tambahnya, kesalahan yang dilakukan pemandu itu tidak dapat dimaafkan kerana meragut dua nyawa insan tersayang serentak, lebih-lebih lagi masih mempunyai empat adik yang bersekolah berusia 16,15,12 dan 10 tahun.

"Bukan seorang terkorban tapi kerana kecuaian dia yang mabuk menyebabkan ibu dan bapa saya meninggal dunia.

"Saya akan pastikan nasib kami adik beradik mendapat keadilan sewajarnya dan berharap insiden kehilangan orang tersayang seperti apa yang kami lalu menjadi pengajaran kepada orang lain," katanya.

Difahamkan jenazah kedua-dua mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Balik Bukit, Bukit Lintang pada malam Isnin.

Sinar Harian menyiarkan sepasang suami isteri maut selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh pemandu mabuk di Jalan Serkam Pantai, Merlimau, di sini awal pagi Isnin.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi, mangsa Ezuddin Mohammad, 50, dan isterinya yang bekerja sebagai operator kilang, Surayah Muhamat, 48, dalam perjalanan dari arah Melaka menuju ke arah Merlimau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!