Padang Kota lama pilihan pelancong sempena cuti sekolah
GEORGETOWN - Cuti panjang persekolahan yang bermula 3 Jun lalu menyaksikan Pulau Pinang menjadi tumpuan ramai untuk melancong dan melakukan aktiviti riadah.
Tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa lokasi tumpuan di negeri ini sesak dengan kehadiran orang ramai termasuk pelancong dari dalam dan luar negara.
Antara tarikan pelancongan terbaharu di Pulau Pinang iaitu di sekitar Padang Kota Lama selepas kawasan tembok laut dibuka kepada orang ramai bermula 13 Mei lalu.
Norhidayah Suid, 31, dari Selangor teruja dengan keindahan panorama di sekitar Padang Kota Lama walaupun dipenuhi pengunjung.
Dia bersama enam ahli keluarga sudah lama bercadang untuk bercuti ke Pulau Pinang selepas menangguhkan hasrat itu disebabkan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.
"Dah lama kami rancang ke sini namun terpaksa tangguhkan selepas negara dilanda pandemik Covid-19.
"Bila sampai di sini kami teruja disebabkan terlalu ramai orang yang berkunjung selain tertarik dengan pemandangan indah di kawasan tepi laut di sini," katanya ketika ditemui Sinar Harian, pada Isnin.
Turut berkongsi pengalaman, Azrul Yazid, 31, dari Johor Bahru yang bercuti bersama isteri dan dua anaknya di negeri ini sejak Ahad.
Jelasnya, selepas berkunjung di beberapa lokasi tumpuan dan merasai keenakan nasi kandar di sini, mereka memilih untuk beriadah di Padang Kota Lama.
"Ini percutian kali ke dua kami di Pulau Pinang. Alhamdulillah perjalanan kami dari Johor Bahru ke sini lancar walaupun sesekali terpaksa menempuh kesesakan trafik.
"Memang menarik dan lebih cantik pemandangan di sini selepas kerja-kerja naik taraf dilakukan. Walaupun ramai tapi tetap selesa untuk kami bersantai di sini," ujarnya.
Sementara itu, Durar Fatin Abd Wahab, 35, dari Sungai Jawi pula tertarik untuk berkunjung di Padang Kota Lama selepas kawasan tembok laut di sini tular di laman sosial.
Kesempatan cuti sekolah membolehkan dia membawa anak perempuannya untuk bersiar-siar di sini selain berkunjung di beberapa tempat menarik lain di Pulau Mutiara.
"Banyak keistimewaan yang ada di Pulau Pinang, selain laut, makanannya semua sedap-sedap.
"Sebagai anak jati Pulau Pinang, saya berbangga dengan pelbagai tarikan yang ada hingga menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara," katanya.
Tembok Laut Padang Kota Lama, di sini menjadi tumpuan selepas dibuka kepada orang ramai untuk aktiviti beriadah pada Mei lalu.
Kerja-kerja naik taraf kawasan tumpuan pelancong itu dijalankan kerajaan negeri dengan menelan belanja RM12.9 juta.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sebelum ini berkata, inisiatif menaik taraf kawasan tersebut yang dipertanggungjawabkan kepada George Town Conservation Devalopment Corporation (GTCDC) sejak 2016 itu adalah berdasarkan North Seafront Master Plan iaitu Pelan Induk di dalam Rancangan Kawasan Khas George Town.
Katanya, GTCDC mengambil langkah positif menjalankan kajian yang menyeluruh merangkumi bidang sejarah kewujudan pembinaan tembok laut, warisan, kerja ukur pesisir pantai, kejuruteraan marin dan struktur.
Pelan Induk ini melibatkan kira-kira 14 projek dengan kos keseluruhan RM140 juta yang dibiayai oleh kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Think City secara bersama.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Kota berkata, pembangunan jajaran tembok laut itu termasuk ruang pejalan kaki adalah sepanjang kira-kira 570 meter dari Medan Selera Renong ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia.
"Keseluruhan kos projek iaitu RM12.9 juta dibiayai MBPP namun kerajaan tambahan RM1.4 juta untuk projek Linear Garden yang akan dimulakan tahun ini oleh MBPP. Ia bagi melengkapkan fungsi ruang awam dan kawasan hijau berdekatan tembok laut ini.
"Projek Tembok Laut Padang Kota ini mengekalkan nilai-nilai warisan memandangkan kawasan ini berada di bawah Zon George Town Heritage," katanya.
Selain projek itu, beberapa projek utama juga sedang dalam pelaksanaan di bawah Pelan Induk termasuk projek konservasi Kota Cornwallis yang memartabatkan pemuliharaan Bangunan Warisan Kategori 1.
Terdapat juga projek yang melibatkan menaik taraf laluan pejalan kaki di Lebuh Light serta di kawasan sekitar North Seafront bagi memastikan setiap kawasan tumpuan dihubungkan dengan baik dan terancang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!