Kementerian Pertahanan diminta berunding dengan veteran ATM

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertahanan disarankan supaya berunding secara aman dengan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung isu kebajikan dan hak veteran tersebut.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berkongsi perkara itu di Facebooknya pada Isnin berkata, daripada kerajaan membayar RM3 bilion sebagai dana tambahan untuk projek Littoral Combat Ship (LCS), lebih baik dana itu disalurkan kepada wira dan wirawati negara.

“Kalau sampai veteran ATM terpaksa turun berdemo, kita kena betul-betul tanya, teruk sangat ke institusi pertahanan kita sekarang? Para wira dan wirawati negara kita dah banyak berjasa. Takkanlah kebajikan mereka kita tak boleh pelihara?

“Saya sarankan Kementerian Pertahanan duduklah semeja dengan mereka dan rundinglah secara aman.

“Daripada kerajaan kena bayar extra RM3 bilion untuk projek LCS, yang mana tiba-tiba naik dari RM9 bilion ke RM12 bilion, lebih baik kita salurkan untuk kebajikan wira dan wirawati negara,” katanya.

Pada Isnin, media melaporkan veteran ATM mengambil jalan untuk mengadakan perhimpunan secara aman selepas lapan tahun cuba menegakkan hak veteran mengikut saluran betul.

Pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Meor Rosli Meor Mohd Jaafar berkata, desakan itu bukanlah bermotifkan politik, sebaliknya bertujuan untuk mendapatkan tumpuan Kementerian Pertahanan supaya tidak terus mengetepikan hak veteran ATM.

Mengulas lanjut Syed Saddiq berkata, tuntutan yang dilakukan oleh veteran ATM itu juga tidaklah rumit, antaranya penyelarasan pencen veteran dan pemberian pencen kepada veteran tidak berpencen.

“Selain itu, hak kepada bekas tentera yang tidak diiktiraf sebagai veteran serta pengampunan kepada bekas tentera yang diberhentikan atas kesalahan salah laku.

“(Justeru) jasa mereka harus dikenang,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!