Kerani rugi RM13,900
KEPALA BATAS - Seorang kerani pengurusan syarikat swasta berputih mata apabila ditipu sindiket pinjaman wang membabitkan RM13,900.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 42 tahun itu ditipu melalui iklan pinjaman wang yang tidak wujud melalui aplikasi WhatsApp, Ahad lalu.
Menurutnya, anak saudara wanita itu ingin membuat pinjaman RM15,000.00 melalui iklan pinjaman wang berkenaan namun dia diminta membayar wang proses pinjaman terlebih dahulu.
"Anak saudara mangsa berusia 28 tahun telah menerima iklan pinjaman wang melalui WhatsApp dan berminat dengan tawaran diberikan. Dia meminta ibu saudaranya membantunya mendapatkan pinjaman wang tersebut.
"Mangsa menghubungi nombor telefon diberikan melalui iklan itu dan bercakap dengan seorang lelaki mendakwa ejen syarikat 'BMS Loan’ dan menawarkan pinjaman peribadi," katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, mangsa bersetuju membuat pinjaman wang sebanyak RM15,000 untuk kegunaan peribadi namun telah diarahkan untuk membuat pelbagai bayaran.
"Mangsa diarahkan membuat bayaran untuk buka akaun, enam bulan bayaran ansuran, saman, buka akaun keselamatan dan bayaran insurans sebagai wang proses permohonan pinjaman tersebut.
"Mangsa kemudiannya telah membuat 10 transaksi secara dalam talian ketika berada di rumahnya. Dia telah memindahkan RM13,900 ke dalam satu akaun bank. Selepas itu, lelaki berkenaan mengarahkan mangsa memindahkan lagi wang tambahan namun mangsa enggan," katanya.
Tambahnya, mangsa telah menyedari dirinya ditipu dan meminta lelaki berkenaan mengembalikan wangnya.
"Mangsa gagal mendapatkan kembali wangnya lalu membuat laporan polis. Polis masih menjalankan siasatan bagi memperoleh maklumat akaun individu terbabit.
"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!