Gaji rendah punca ramai belia terjebak rasuah
SHAH ALAM - Punca gejala rasuah yang berlaku melibatkan golongan belia antaranya adalah disebabkan mereka mempunyai kepentingan yang tersendiri terhadap pemberi rasuah tersebut.
Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, ini kerana penerima rasuah itu boleh mendapatkan atau memudahkan sesuatu perkara yang diingini pemberi rasuah.
“Kenapa belia ini terlibat dengan rasuah? ini kerana kedua-dua pihak mempunyai kepentingan. Kalau belia tiada kepentingan, mereka tidak akan suap duit kepada golongan ini. Antaranya, belia tersebut mampu untuk melaksanakan kerja atau mendapatkan perkara yang diingini,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pada Sabtu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali mendedahkan sejumlah 275 belia berusia antara 18 hingga 30 tahun ditangkap atas kesalahan membabitkan rasuah sejak 2020 sehingga Jun 2022.
Menurut Norazlan, daripada jumlah itu, seramai 21 orang berusia antara 18 hingga 23 tahun, manakala 254 lagi berusia antara 24 hingga 30 tahun.
Dalam masa masa, menurut Dzulkifli, rasuah diterima oleh golongan belia juga disebabkan oleh gaji yang rendah mengakibatkan mereka tidak mampu untuk menampung kos sara diri dan keinginan untuk menjalani gaya hidup mewah.
Tambah beliau, apabila kekurangan kemampuan kewangan, maka segelintir golongan tersebut terpaksa mencari jalan lain yang lebih mudah iaitu rasuah untuk mencari duit lebih bagi menampung perbelanjaan.
“Kenapa belia terlibat dengan rasuah adalah sebab kos sara hidup yang sangat tinggi dan gaya hidup mewah yang mereka mahukan.
“Keadaan ini mungkin berlaku kerana orang muda ini, gaji tidak tinggi sangat, mereka perlu mencari cara lain untuk dapatkan duit. Nak cari kerja kedua mungkin sukar dalam keadaan sekarang. Maka mereka mencari alternatif yang mudah iaitu dengan menerima rasuah,” ujarnya.
Mengulas mengenai bentuk rasuah yang diterima, Dzulkifli berkata, daripada pengalaman beliau semasa menerajui SPRM, kebanyakan mereka hanya menerima wang sahaja untuk mendapatkan apa yang mereka idamkan.
“Bentuk rasuah yang diambil majoritinya hanyalah berbentuk duit sahaja. Jarang yang melibatkan salah guna kuasa. Mereka hanya mahu duit untuk kehidupan mewah sahaja,” ujarnya.
Tambah beliau, sudah tiba masanya untuk kerajaan memikirkan satu alternatif yang lebih efektif bagi menerapkan dalam diri kalangan anak muda berkaitan pendidikan antirasuah melalui pembelajaran di sekolah mahupun universiti.
“Setahu saya, topik rasuah ataupun pembelajaran berkaitan rasuah sudah pun terdapat di sekolah-sekolah sejak beberapa tahun yang lalu, cuma sekarang ini perlu memberikan penekanan yang lebih mendalam lagi.
“Penerapan ilmu rasuah bagi orang muda ini kurang. Mereka tidak tahu masalah rasuah ini boleh menyebabkan mereka kehilangan kerja dan sekaligus menghancurkan masa depan mereka.” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!