Kursus integriti di IPT didik belia benci rasuah
SHAH ALAM - Persatuan mahasiswa berpandangan bahawa Kursus Integriti dan Antirasuah yang akan dilaksanakan di semua institusi pengajian tinggi (IPT) pada tahun depan mampu menjadikan golongan itu lebih cakna dengan isu rasuah di negara ini.
Naib Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Faizah Abdul Rahman berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mewajibkan silibus tersebut di seluruh IPT.
Menurut beliau, kursus itu juga dapat memberikan pendedahan dan kesedaran kepada pelajar berhubung kesan serta akibat rasuah yang memudaratkan diri sendiri serta mencemarkan imej negara.
“Ini kerana kurang pemahaman mengenai definisi dan bentuk rasuah yang hadir dalam pelbagai cara menyebabkan golongan belia mudah terjebak dengan jenayah tersebut tanpa mereka sedar,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pada Sabtu lalu, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah telah memutuskan supaya Kursus Integriti dan Antirasuah diwajibkan di semua IPT bermula tahun depan.
Mengulas lanjut, Faizah berkata, rasuah itu hadir dalam bentuk wang ringgit, salah guna kuasa, kenaikan pangkat, pemberian hadiah, imbuhan dan sebagainya.
“Jenis dan bentuk rasuah kebanyakan berlaku dalam kalangan belia yang mempunyai jawatan atau kedudukan yang tinggi dalam organisasi seperti ketua jabatan, pemimpin masyarakat yang terlibat dalam proses membuat keputusan.
“Oleh itu, saya yakin jika inisiatif sebegini dilaksanakan bukan sahaja di peringkat pengajian tinggi tetapi juga perlu diwujudkan bermula di bangku sekolah lagi, agar jenayah rasuah dapat dibendung di semua peringkat golongan masyarakat di negara ini,” tegasnya.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Gerakan Mahasiswa Republican Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Iman Azhar berkata, pelaksanaan kursus berkenaan merupakan satu langkah yang bijak kerana dapat mengelakkan pelajar daripada terjebak dengan tingkah laku memberi serta menerima rasuah.
“Pendidikan melalui kursus ini dilihat sebagai usaha yang baik untuk menyemai dan menyuburkan nilai untuk menolak jenayah kolar putih ini tanpa berkompromi.
“Melalui kursus ini, mahasiswa yang merupakan aset terpenting kepada negara kerana masa depan negara bakal dicorak dengan apa tindakan dan penghayatan mahasiswa hari ini.
“Justeru, kursus ini bakal menjadi sumber manusia yang memiliki nilai murni khususnya nilai integriti tinggi demi memastikan pembinaan tamadun Malaysia berjaya dilakukan oleh mereka yang bebas rasuah,” ujarnya.
Pendidikan melalui kursus ini dilihat sebagai usaha yang baik untuk menyemai dan menyuburkan nilai untuk menolak jenayah kolar putih ini tanpa berkompromi.’’
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!