Lukaku terlepas aksi menentang Poland
PENYERANG Belgium, Romelu Lukaku sah akan terlepas aksi kedua Kumpulan D Liga Negara-Negara UEFA menentang Poland selepas mengalami kecederaan ketika menentang Belanda pada Sabtu.
Perkembangan itu diumumkan Belgium di akaun Twitter rasmi mereka, Belgian Red Devils yang turut memaklumkan pemain Chelsea itu kini sedang menjalani rawatan bagi kecederaan yang dialaminya.
“Lukaku akan terlepas perlawanan menentang Poland pada Rabu (awal pagi Khamis). Lukaku kini sedang menjalani rawatan bagi merawat kecederaannya,” katanya.
Lukaku sebelum ini dilihat terhincut-hincut pada separuh masa pertama ketika Belgium tewas menentang Belanda 4-1 di laman sendiri sekaligus memastikan kemenangan pertama skuad The Oranje di venue seteru itu sejak 1997.
Dalam pada itu, jurulatih Belgium, Roberto Martinez menggesa anak buahnya bangkit pada perlawanan kedua menentang Poland biarpun tanpa kehadiran Lukaku.
Menurut Martinez, beliau berharap anak buahnya dapat menjadikan Poland sebagai korban selepas tewas menentang Belanda pada Sabtu.
“Kekalahan kepada Belanda sebenarnya memberitahu kami tentang tahap yang perlu kami capai sebelum beraksi di Piala Dunia hujung tahun ini.
“Permainan sukar seperti ini akan membantu kami bertambah baik. Sudah tentu kami tidak suka dengan kekalahan tetapi kami akan belajar daripadanya.
“Ia adalah proses yang berterusan dan ujian seterusnya akan datang dengan pantas iaitu menentang Poland,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!