Miliki ganja: Bekas diplomat, anak dituduh esok
BENTONG - Kes bekas diplomat dan anaknya yang berdepan tuduhan memiliki ganja di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 akan disebut Mahkamah Majistret Raub pada Rabu.
Sebelum ini, Datuk Zainal Abidin Alias, 78, dan anaknya, Mohamed Rizal Zainal Abidin, 53, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bentong atas tuduhan di bawah Seksyen 39B (1)(a) dan Seksyen 9(1)(b) ADB 1952 kerana mengedar dan menyimpan minyak ganja.
Dalam sebutan kes itu pada 3 Jun lalu, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.
Sementara itu, Mohamed Rizal turut dituduh dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan THC (komponen aktif ganja).
Bekas diplomat itu ditahan ketika serbuan polis di rumahnya pada 21 Mei lalu.
Hasil serbuan itu, polis menemui dan merampas 102 pokok disyaki pokok ganja yang ditanam sekeliling rumah di Kampung Sum Sum Hilir, Janda Baik, Bentong manakala anaknya ditahan dua hari kemudian di Shah Alam, Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!