[VIDEO] 'Tidak wajar letak semua masalah kepada PM'
JOHOR BAHRU - Semua masalah yang melanda negara ketika ini tidak wajar diletakkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sahaja, sebaliknya semua menteri kabinet wajar bertanggungjawab dan berusaha mencari jalan mengatasinya.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, negara berhadapan pelbagai cabaran kebelakangan ini terutama ekonomi yang menunjukkan pemulihan sangat perlahan.
"Pelaburan asing hanya sekadar iltizam di atas kertas. Krisis makanan adalah realiti yang nyata. Sistem imigrasi terus bermasalah. Kesesakan lalu lintas membarah apalagi bila sistem rel semuanya semakin usang dan menua.
"Krisis makanan bukan isu baharu dan semakin meruncing semasa pandemik. Masakan menteri dan kementerian berkaitan tidak boleh merancang ke hadapan bagi mengelakkan segala masalah ini.
"Ayam, ikan, daging, sayur-sayuran dan minyak masak menjadi mahal tetapi yang lebih membimbangkan ialah bekalan makanan tidak mencukupi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, Malaysia adalah negara membangun paling berjaya tetapi sukar dipercayai rakyatnya pada masa kini kekurangan makanan apalagi sumber protein.
Selain itu katanya, perkhidmatan awam di Malaysia terus berhadapan krisis keyakinan dan kecekapan, contohnya apabila memperbaharui pasport mengambil masa berminggu-minggu.
"Ratusan ribu terpaksa beratur berjam-jam lamanya kerana kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Malaysia, sedangkan semua mempunyai masa hampir dua tahun untuk menambah baik sistem bagi kelancaran perkhidmatan sewaktu pandemik.
"Entah berapa kali lagi Transit Aliran Ringan (LRT) tidak lancar berfungsi menyukarkan ratusan ribu pekerja yang harus ke pejabat setiap hari. Kesesakan di Kuala Lumpur dan lebuh raya pula semakin menggila," katanya.
Katanya, penafian terhadap semua masalah tersebut bukan lagi pilihan kerajaan dan Barisan Nasional (BN) sebagai sebahagian daripada kerajaan tidak akan lari daripada tanggungjawab atas semua itu.
"Namun meletakkan segala kesalahan kepada Perdana Menteri adalah tidak wajar. Menteri-menteri terbabit wajar tampil dan menunjukkan kepimpinan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!