Sukma: Wilayah Persekutuan beri insentif kepada atlet sumbang pingat

Shahidan
Shahidan
A
A
A

KONTINJEN Wilayah Persekutuan (WiPers) memutuskan untuk memberi insentif bagi setiap pingat yang diraih atletnya pada Temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang dijadual berlangsung pada 16 hingga 24 September ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, atlet yang berjaya meraih pingat emas dalam sukan individu akan menerima insentif sebanyak RM5,000 manakala RM3,000 hingga RM4,000 bagi acara berpasukan.

Bagi pemenang pingat perak pula, atlet akan menerima insentif sebanyak RM2,000 bagi acara individu dan RM1,000 hingga RM1,500 bagi berpasukan manakala bagi pingat gangsa, pemenang akan menerima RM1,000 bagi sukan individu dan RM500 hingga RM700 bagi acara berpasukan.

"Menerusi insentif ini, saya mengharapkan supaya kesemua atlet dan jurulatih WiPers lebih bersemangat dalam memastikan segala matlamat untuk muncul juara menjadi kenyataan," katanya pada majlis penyampaian amanat Kem Latihan Atlet Wipers Sukma (KLAS) 2022 di sini pada Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan yang juga Ketua Kontinjen WiPers Sukma, Datuk Seri Rosida Jaafar.

Shahidan turut mengharapkan kontinjen WiPers akan menjadi juara pada edisi kali ini dengan memperbaiki pencapaian yang diraih pada edisi 2018 yang menyaksikan pasukan menamatkan saingan sebagai naib juara.

Katanya, sasaran untuk muncul juara dilihat mampu direalisasikan memandangkan atlet WiPers merupakan antara menyumbang pingat terbanyak pada Sukan SEA, Hanoi di Vietnam, baru-baru ini.

Kontinjen WiPers mempertaruhkan 587 atlet untuk bertanding dalam 31 jenis sukan yang bakal dipertandingkan.

Pada temasya Sukma 2018, kontinjen WiPers menjadi naib juara temasya itu dengan meraih 52 pingat emas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!