Isu hina Nabi: Umat Islam usah tindak balas hina agama lain

Idris (dua dari kiri) ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di sini pada Selasa.
Idris (dua dari kiri) ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menasihati supaya umat Islam tidak bertindak balas dengan menghina agama lain susulan dua pegawai pemerintah Parti Bharatiya Janata (BJP) di India yang membuat kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW baru-baru ini.

Beliau berkata, ia berikutan kerana Islam berpegang kepada prinsip agama yang mana tidak membenarkan atau mengizinkan umatnya menghina agama lain.

“Dalam al-Quran pun ALLAH SWT berfirman supaya jangan menghina agama lain. Hina agama lain orang akan menghina Tuhan kita. Itu prinsip kita.

“Saya sudah beritahu bahawa sikap ini tidak elok buat dan tidak sepatutnya berlaku pada mana-mana agama sekalipun.

“Islam tidak menghina orang, jadi kita juga harapkan orang lain juga tidak menghina agama Islam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau turut menyarankan supaya umat Islam bertindak balas secara intelektual menerusi muzakarah dan wacana.

“Ini yang sepatutnya kita ada. Orang Islam ini ada juga perasaan. Jika mereka rasakan ia satu bentuk penghinaan kepada mereka, maka akan jadi perkara yang tidak elok.

“Jadi ini sepatutnya tidak berlaku,” tegasnya.

Pada Isnin, Reuters melaporkan kerajaan India berusaha meredakan kemarahan dari dalam dan luar negara selepas dua pegawai Parti Bharatiya Janata (BJP) membuat kenyataan mengenai Nabi Muhammad SAW sewaktu debat televisyen baru-baru ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!