Isu pengambilan pekerja asing selesai dalam masa terdekat

Saravanan (tengah) bergambar bersama pelajar yang menerima sumbangan komputer riba pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat TalentCorp di Dewan Merdeka pada Selasa. - Foto Bernama
Saravanan (tengah) bergambar bersama pelajar yang menerima sumbangan komputer riba pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat TalentCorp di Dewan Merdeka pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

TAPAH - Isu pengambilan pekerja asing dari Indonesia, Bangladesh dan Kemboja dijangka selesai dalam masa terdekat, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Beliau berkata, proses terakhir yang sedang giat diperhalusi adalah seperti urusan teknikal, prosedur pengambilan dan pemeteraian memorandum antara agensi atau pihak terlibat membabitkan kesemua negara.

"Tiada lagi masalah dengan semua negara dan semua sudah selesai,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan 100 komputer riba kepada pelajar B40 di sini pada Selasa.

Saravanan berkata, setakat ini, lebih 200,000 permohonan pekerja asing bagi pelbagai sektor telah diterima daripada ketiga-tiga negara yang telah dipohon secara dalam talian.

Menurutnya, bagi kemasukan atau pengambilan pekerja dari Indonesia, ia membabitkan prosedur antara Kementerian Ketenagakerjaan Indonesia dan satu agensi berkaitan di sana.

"Proses membabitkan pekerja dari Bangladesh juga sudah selesai. Cuma satu sahaja yang saya belum selesaikan... memuktamadkan perjanjian Malaysia dengan Kemboja untuk membawa masuk pembantu rumah Islam. Saya akan ke sana pada bulan Julai dan kemungkinan besar kita akan selesaikan,” katanya.

Dilaporkan, kekurangan pekerja menyebabkan banyak industri termasuk premis perniagaan seperti kedai makan belum dapat beroperasi 24 jam walaupun boleh berbuat demikian selepas negara memasuki fasa peralihan endemik.

Dalam hal ini, Kementerian Sumber Manusia memutuskan beberapa perubahan dilakukan dari segi pelaksanaan pengambilan pekerja asing dalam kalangan majikan termasuk kuarantin, prosedur operasi standard, kuarters, latihan, hak buruh dan lain-lain lagi.

Sementara itu, penyampaian komputer riba untuk meningkatkan kebolehpasaran siswazah selain merapatkan jurang digital khususnya bagi mereka berpendapatan rendah.

Program tanggungjawab sosial korporat TalentCorp itu antara lain bertujuan memastikan para pelajar bersedia menghadapi persekitaran kerja pascapandemik Covid-19 melalui sumbangan alatan pembelajaran digital. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!