'Noktah kemenangan penampilan ke-100'

Heung-min
Heung-min
A
A
A

PENYERANG sensasi Korea Selatan, Son Heung-min berterima kasih kepada rakan sepasukannya kerana menjadikan penampilan ke-100 bersama Taegeuk Warriors dengan noktah kegembiraan selepas menewaskan Chile 2-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Piala Dunia Daejeon, Daejeon.

Menurut Heung-min, penampilan ke-100 bersama pasukan kebangsaan dengan pengakhiran kemenangan merupakan kenangan terindah selepas gergasi Asia itu dijinakkan gergasi dunia Brazil di Seoul minggu lalu.

“Sejujurnya penampilan ini lebih daripada matlamat peribadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan kerana bersama-sama memberikan yang terbaik untuk pasukan dalam perlawanan ini dengan sikap yang begitu hebat.

"Ya, ia sentiasa sesuatu yang sukar untuk bangkit dengan begitu cepat selepas kekalahan yang kami alami ketika menentang Brazil tetapi semua orang menunjukkan kekuatan mental dan semangat juang berpasukan tinggi untuk Korea Selatan.

"Saya sangat gembira memenangi perlawanan ke-100 kerana sebenarnya amat janggal sekiranya ada yang mengucapkan tahniah seandainya saya tewas dalam perlawanan ini,” kata pemain kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur berusia 29 tahun itu.

Pada aksi pemanas badan menjelang saingan Piala Dunia Qatar 2022 pada November depan, Taegeuk Warriors kendalian Paulo Bento meledak jaringan menerusi gol Hwang Hee-chan (12') dan Heung-min (91').

Heung-Min sebelum ini menikmati musim prolifik bersama kelab London itu apabila menjaringkan 24 gol dan 10 bantuan dalam semua kejuaraan ketika anak buah Antonio Conte mengesahkan kelayakan Liga Juara-Juara.

Ditanya sama ada dia pernah fikir dia akan mencapai 100 penampilan, Heung-Min berkata: "Masa cepat berlalu, dan saya hampir tidak mempunyai masa untuk merenung perkara itu. Namun saya pernah bermimpi mungkin mencapai penampilan tersebut pada suatu masa. Cumanya saya telah cuba untuk tidak terlalu mendahului diri saya sendiri."

Korea Selatan akan menerima kunjungan Paraguay dalam perlawanan persahabatan yang dijadualkan Sabtu sebelum menentang Mesir empat hari kemudian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!