Lori alami masalah brek, tayar pecah rempuh 7 kenderaan

(Gambar kiri) Lori dipercayai hilang kawalan selepas tayar belakang pecah tiba-tiba telah merempuh tujuh kenderaan lain. Foto: ihsan pembaca.(Gambar kanan)
(Gambar kiri) Lori dipercayai hilang kawalan selepas tayar belakang pecah tiba-tiba telah merempuh tujuh kenderaan lain. Foto: ihsan pembaca.(Gambar kanan)
A
A
A

TAIPING - Hilang kawalan selepas tayar belakang pecah punca lori muatan barangan runcit merempuh tujuh kenderaan lain dalam kemalangan di Kilometer 81.5, Jalan Ipoh - Butterworth di sini pada Selasa.

Kejadian sekitar jam 7.30 pagi itu membabitkan sebuah lori, dua kereta jenis Perodua Myvi, sebuah Proton Saga, Proton Wira, Perodua Axia, Toyota Wald dan sebuah motosikal Yamaha Ego.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, dua wanita dan dua lelaki termasuk penunggang motosikal berusia antara 26 hingga 56 tahun mengalami cedera ringan dalam kejadian itu.

Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati lori yang dipandu lelaki berusia 41 tahun itu dalam perjalanan dari arah Kamunting menghala ke Kuala Kangar.

"Semasa meneruskan perjalanan tiba-tiba tayar belakang sebelah kiri telah pecah dan pada masa sama lori berkenaan mempunyai masalah brek hingga menyebabkan hilang kawalan.

"Kenderaan terbabit telah merempuh semua kenderaan yang terlibat. Akibat kemalangan pemandu Perodua Axia, Toyota Wald dan Perodua Myvi serta penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Osman berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan menunjukkan pemandu lori terbabit negatif dadah.

"Tiada tangkapan dilakukan dan kenderaan terlibat ditahan bagi pemeriksaan pihak Puspakom.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan1987," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!