Jangan jual aset negara di Hong Kong: Tengku Razaleigh
KUALA LUMPUR – Kerajaan PH dikritik supaya tidak bertindak terlalu terdesak untuk menjual tanah dan Bangunan Malaysia di Hong Kong.
Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah menasihatkan kerajaan agar menyimpan bangunan tersebut memandangkan harganya kini sudah melambung tinggi.
“Bagi saya keadaan kewangan kerajaan sekarang tidaklah begitu mendesak, kalau ya pun tak ada duit, PH sudah jadi kerajaan, mesti ada cara dan sumber lain yang boleh dicari. Takkanlah nak jual sampai ke seluar dalam.
“Pendapat saya, eloklah kita simpan, kerana kalau nak beli pula harganya dah melambung naik. Dulu kita (kerajaan BN) beli pada 2 Jun 1980 dengan harga HK$200 juta (RM103.8 juta). Tapi sekarang ini harga harga tanah sahaja dah bernilai berbilion. Ada duit nak beli bangunan lain dengan harga berbilion ringgit? katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.
Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang itu mendedahkan Menara 28 tingkat di Jalan Gloucester, di daerah Wanchai itu menempatkan beberapa agensi kerajaan termasuk pejabat Konsulat Jeneral Malaysia dibeli oleh Malaysia ketika beliau masih menjawat jawatan Menteri Kewangan.
“Kita beli kerana ada keperluan untuk agensi kerajaan yang bertindak di sana (Hong Kong) berselerak merata tempat, jadi Kementerian Luar berpendapat eloklah agensi-agensi itu ditempatkan dalam satu bangunan.
“Menara 28 tingkat itu menempatkan agensi pelaburan, pelancongan, import eksport, getah dan pelbagai lagi agensi daripada banyak kementerian, sebab itu difikirkan adalah lebih baik ditempatkan dalam satu tempat yang sama.Setelah diteliti oleh Kementerian Luar kesesuaiannya, barulah Kementerian Kewangan buat keputusan untuk membelinya,” jelas beliau.
ARTIKEL BERKAITAN: Penjualan bangunan konsulat di Hong Kong secara tender terbuka
Februari lalu, akhbar The Star yang memetik laporan akhbar tempatan Hong Kong, Ming Pao mendedahkan Kumpulan Evergrande China dalam perbincangan untuk membeli bangunan milik kerajaan Malaysia di Hong Kong iaitu Malaysian Building.
Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan memutuskan supaya penjualan tanah dan Bangunan Malaysia di Hong Kong tidak dilakukan secara rundingan terus, sebaliknya secara tender terbuka. Menurut Guan Eng, Kabinet memutuskan proses penjualan dan pelupusan hartanah itu dilakukan secara tender terbuka untuk memastikan kerajaan mendapat nilai terbaik daripada penjualannya.
Beliau berkata, keputusan itu selaras dengan komitmen kerajaan untuk menjalankan pentadbiran dengan berpandukan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), sekali gus memastikan kebajikan rakyat dipelihara dengan sebaiknya dalam setiap keadaan.
“Kerajaan terdahulu memutuskan untuk menjual tanah dan bangunan berkenaan secara rundingan terus kepada sebuah syarikat pada harga RM1.1 bilion, yang mana surat tawaran dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan sebelum 9 Mei 2018.
“Akan tetapi selepas perubahan kerajaan, Kementerian Kewangan menerima beberapa tawaran lain pada nilai yang lebih tinggi, setinggi RM1.6 bilion berbanding dengan harga yang ditawarkan oleh kerajaan terdahulu melalui rundingan terus sebanyak RM1.1 bilion,” katanya.
Guan Eng memberitahu, proses tender terbuka untuk penjualan tanah dan bangunan itu sedang berjalan, dan diyakini akan dapat memberikan hasil yang bersesuaian dengan nilai sebenar hartanah terbabit, sekali gus memberikan penjimatan terhadap perbelanjaan kewangan kerajaan.
Tambahnya, mesyuarat Kabinet dalam kerajaan terdahulu mencadang dan memutuskan untuk menjual tanah dan melupuskan bangunan tersebut secara rundingan terus pada 14 Mac 2018 disebabkan, di antara lain, kos membaik pulih bangunan tersebut terlalu tinggi sehingga mencecah RM300 juta.
“Adalah dikesali apabila bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak cuba mengelak daripada menjawab soalan mengapa pentadbiran beliau memutuskan untuk menjual tanah dan bangunan itu secara rundingan terus dan bukan secara tender terbuka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!