[VIDEO] M Daud Kilau rindu pakai baju labuci, hiburkan peminat
BAGAN DATUK - Penyanyi Datuk M Daud Kilau masih mahu terus menghiburkan peminat namun setakat ini hasrat tersebut terpaksa dilupakan berikutan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.
Artis berusia 84 tersebut berkata, kali terakhir beraksi di pentas adalah pada enam tahun lalu dan selepas itu tidak lagi aktif biarpun masih menerima jemputan untuk membuat persembahan.
“Saya masih rindu nak pakai baju labuci. Bila sarung baju labuci ini rasa ceria dan seronok. Puas hati rasanya, bila dapat pakai.
"Dengan kesihatan macam ini, mungkin lama lagi saya boleh menyanyi tetapi saya masih rindu nak menghiburkan peminat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Balai Baroh, di sini pada Selasa.
Hadir menziarahi artis veteran itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.
Pelantun lagu popular Cek Mek Molek itu berkata, rawatan kesihatan penyakit dialaminya dilakukan di Hospital Selayang, Hospital Teluk Intan dan Klinik Kesihatan Bagan Datuk.
Beliau berkata, setakat ini Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan bantuan bulanan.
Dalam pada itu, M Daud mengharapkan royalti terus diberikan kepada artis sepertinya.
"Royalti lagu memang dapat tapi nak kata setahun sekali itu tak dapatlah. Sebelum ini dapat dalam RM300 hingga RM400.
"Bagaimanapun saya bersyukur masih ada lagi yang ingat pada saya, beri bantuan dan sumbangan," katanya.
Sementara itu, Zahidi berkata, K-KOMM menyampaikan sedikit bantuan dan sumbangan kepada Raja Gelek Malaysia itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!