Projek tanam jagung: MB Selangor minta Otai Reformis semak fakta
SHAH ALAM - Otai Reformis 1998 perlu merujuk fakta sebelum menentang projek tanaman jagung di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan yang diusahakan kerajaan negeri Selangor.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek itu tidak melibatkan isu nyahwarta sebaliknya tanah itu boleh digunakan untuk aktiviti pertanian.
Menurutnya, projek tersebut diusahakan bagi mengatasi isu bekalan makanan ayam yang dihadapi dalam negara.
"Negara import bekalan jagung yang tinggi setiap tahun dan bukan secara bermusim.
"Tidak timbul isu penyahwartaan, itu hak kepenggunaan. Otai Reformis perlu semak fakta sebelum menyerang," katanya mengulas kenyataan Otai Reformis 1998 yang membantah kerajaan Selangor menebas hutan bagi projek tanaman jagung.
Beliau ditemui pada pelancaran Majlis Penasihat Kesihatan Awam Negeri Selangor (SELPHAC) di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz pada Selasa.
Jelasnya, Selangor menjadi pelopor kepada projek tanaman jagung bagi mengatasi isu bekalan dalam negara.
"Kita mahu tangani masalah kekurangan bekalan ayam yang besar dan bahan makanan. Sebab itu Selangor mengorak langkah atasi masalah tersebut," katanya.
Pada Isnin, Setiausaha Otai Reformis 1998, Abdul Razak Ismail berkata, projek tanaman jagung secara ‘adhoc’ tanpa perancangan rapi bakal mengorbankan status hutan simpan tersebut.
Beliau mendakwa projek itu adalah helah kerajaan negeri untuk menyahwartakan status hutan simpan tersebut dengan alasan keperluan kecemasan bagi menyediakan makanan ayam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!