Kenaikan kadar caj tempat letak kereta harus dikaji

A
A
A

SHAH ALAM - Rata-rata penduduk di sini yang ditemui meminta agar caj parkir yang bakal dinaikkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bermula 1 April ini wajar dikaji semula.

Ameer Satria Md Rodzi, 29, berkata, langkah yang bakal dilaksanakan itu seolah-olah tidak masuk akal.

"Faham-faham sajalah sekarang ni kos hidup naik, harga barang pun tak turun-turun, ini ditambah pula dengan caj parkir yang akan dinaikkan.

"Saya minta pihak MBSA pertimbangkan perkara ini. Buat masa ini baik kekalkan saja kadar lama," katanya.

Tambahnya, sepatutnya soal berkaitan kemudahan parkir patut dipertingkatkan terlebih dahulu.

"Ada kawasan yang parkirnya agak kurang sampai kena double park. Ini yang perlu diatasi terlebih dahulu, sediakan jumlah parkir yang betul-betul mencukupi.

Parkir yang disediakan oleh MBSA.
Parkir yang disediakan oleh MBSA.

"Bab naik ni kalau boleh tangguh dahulu, kaji dan laksanakan kemudahan parkir yang selesa, itu yang perlu diutamakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zafarullah Kamaluddin, 33, pula berkata, sememangnya amat tidak wajar caj parkir ini dinaikkan.

"Bagi saya memang sangat tak patut. Kena tengok kos sekarang ini, bagi sesetengah orang, mungkin 40 sen itu sikit, tapi bagi mereka yang terpaksa guna parkir berbayar ni, kalau dah hari-hari pastinya akan membebankan.

"Saya rasa sepatutnya MBSA kekalkan dengan kos yang lama saja, itu yang terbaik," katanya.

Terdahulu, MBSA dalam satu kenyataan kelmarin menyatakan pihaknya akan melaksanakan kenaikan kadar caj tempat letak kereta di bawah kawasan pentadbiran.

Kenyataan tersebut menyatakan kadar ini melibatkan kenaikan dari 40 sen sejam kepada 60 sen sejam serta caj sebulan daripada RM60 kepada RM90 sebulan.

Kenaikan kadar tersebut bermula pada 1 April 2019 dan pengguna yang masih memiliki kupon berharga 40 sen masih boleh menggunakannya sehingga tamat tempoh tertera.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!