QSB, Celcom meterai MoU bangunkan inovasi digital terkini di Sabah

Ahmad Rizal (tiga dari kiri) dan Afizulazha (tiga dari kanan) bertukar dokumen perjanjian dan disaksikan oleh Salleh serta wakil QSB dan Celcom yang hadir pada majlis MoU itu.
Ahmad Rizal (tiga dari kiri) dan Afizulazha (tiga dari kanan) bertukar dokumen perjanjian dan disaksikan oleh Salleh serta wakil QSB dan Celcom yang hadir pada majlis MoU itu.
A
A
A

SABAH selangkah lebih dekat dalam memanfaatkan inovasi dan penyelesaian digital terkini untuk penyediaan perkhidmatan kerajaan.

Qhazanah Sabah Bhd (QSB), cabang pelaburan kerajaan negeri, bekerjasama dengan Celcom Axiata Berhad (Celcom) untuk memajukan inovasi digital dan penyelesaian yang memanfaatkan sambungan 5G di Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan QSB, Ahmad Rizal Dahli berkata, kerjasama itu akan membolehkan kedua-dua firma merancang bersama pelancaran Inisiatif Sabah Pintar yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan digital selaras dengan pelan induk pembangunan Sabah Maju Jaya Kerajaan Negeri.

“Kerjasama yang dicadangkan ini akan menyaksikan pembangunan penyelesaian pintar merangkumi Internet Kebendaan (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI) dalam bidang e-kerajaan, keselamatan dan keselamatan awam, e-pembelajaran, ekonomi digital yang menyumbang secara positif kepada rakyat dengan mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis memeterai MoU itu telah diadakan di pejabat Riverson Suites, Kota Kinabalu, Sabah pada 26 Mei lepas.

Dalam majlis MoU itu, Ahmad Rizal mewakili QSB manakala Celcom diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi (Teknologi) merangkap Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Celcom Axiata, Afizulazha Abdullah telah menandatangani perjanjian tersebut. Ia telah disaksikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) Kumpulan QSB, Noor Afzalinah Mohd Afzul Khan serta Ketua Jualan Korporat (Akaun Terurus) Celcom, Romlan Sarpin.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi QSB, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Keruak, Pengarah Eksekutif QSB, Mohd Shukor Abdul Mumin.

Salleh (lima dari kanan) bersama wakil QSB dan Celcom pada majlis MoU tersebut.
Salleh (lima dari kanan) bersama wakil QSB dan Celcom pada majlis MoU tersebut.

Ahmad Rizal berkata, MoU itu akan membuka jalan dalam mewujudkan Sabah sebagai model bandar pintar mampan di rantau ini pada abad ke-21.

“QSB akan memberikan tumpuan pembangunan infrastruktur digital yang merupakan tulang belakang untuk memudahkan ekonomi digital.

“Dengan kedudukan kukuh QSB dan pengalaman luas dalam membangunkan infrastruktur digital di negeri ini serta sistem sokongan untuk kemudahan telekomunikasi, kami menjangkakan kerjasama dengan Celcom akan meningkatkan keupayaan kumpulan kami dalam memainkan peranan kami sebagai syarikat pelaburan negeri untuk memberi manfaat kepada Kerajaan dan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Afizulazha berkata, sejak memulakan demonstrasi percubaan 5G di Langkawi pada 2017, untuk prototaip jalur 28GHz di Malaysia dan Asia Tenggara, keupayaan Celcom telah mencapai kejayaan yang ketara dengan mempamerkan tujuh kes penggunaan yang menampilkan Bandar Pintar dan menyediakan penyelesaian perindustrian yang inovatif.

“Celcom bersedia untuk membawa penyelesaian digital yang inovatif ke Sabah dengan mewujudkan projek perintis di negeri itu yang dijadualkan bermula pada tahun ini.

“Kami yakin kerjasama ini akan meningkatkan pembinaan kapasiti daripada kedua-dua pihak terutamanya mengenai pemindahan pengetahuan dalam penggunaan aplikasi digital teknologi canggih,” katanya.

Afizulazha berkata, kerjasama itu juga akan memberikan peluang dalam membawa produk dan perkhidmatan yang inovatif kepada komuniti Sabah yang luas dan unik.

“Celcom bersedia untuk membawa ekosistemnya yang lebih besar untuk menyokong inisiatif ini dan bersama negeri Sabah dalam merintis masa depan digital Asia Tenggara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!