Pengasuh taska direman bantu siasatan kes dera
ALOR SETAR - Seorang pengasuh taska direman enam hari sehingga 9 Jun ini bagi membantu siasatan kes dera melibatkan bayi lelaki berusia lapan bulan di sebuah taska di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, wanita berusia 20 tahun itu ditahan selepas ibu bapa bayi terbabit tampil membuat laporan polis pada 3 Jun lalu.
Menurutnya, kejadian berlaku pada 2 Jun lalu dan bayi terbabit dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah oleh ibu bapanya.
" Ketika pemeriksaan di bahagian kecemasan, bayi itu didapati mengalami bengkak di bahagian lengan kiri tanpa kesan luka.
" Walau bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut oleh pakar tulang kemudiannya mendapati bayi berkenaan patah tulang di bahagian atas lengan kiri," Katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Ahmad Shukri berkata, pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak Kanak 2001
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!