Festival Bon Odori: Umat Islam dinasihatkan pelihara akidah
GEORGETOWN - Umat Islam dinasihatkan supaya sentiasa memelihara kemurnian akidah masing-masing dengan mengelak daripada terlibat dalam festival yang ada kaitan dengan memperingati semangat atau roh nenek moyang.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, festival seperti itu juga dibimbangi akan membawa kepada syirik.
Menurutnya, di dalam Islam, cara untuk memperingati ahli keluarga adalah dengan mendoakan kesejahteraan roh mereka dan bukannya memuja atau dengan nyanyian.
"Festival yang memperingati roh ahli keluarga yang sudah meninggal dengan nyanyian, memuja dan menari dibimbangi akan mengakibatkan syirik sekiranya orang Islam menyertainya. Di dalam Islam, cara mengingati ahli keluarga adalah dengan mendoakan kesejahteraan bagi roh-roh mereka agar dirahmati oleh ALLAH SWT serta diampunkan segala dosa mereka.
"Umat Islam juga disarankan supaya selalu membaca ayat-ayat suci dan bersedekah dengan diniatkan pahala segala amalan baik itu disampaikan kepada arwah ahli keluarga yang telah berpindah ke alam abadi," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Wan Salim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang menasihatkan umat Islam di negara ini supaya tidak menyertai program Festival Bon Odori yang akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai ini kerana ia mengandungi unsur agama lain.
Idris berkata, kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati program itu mempunyai unsur-unsur keagamaan lain.
Katanya, cara memperingati roh nenek moyang dengan cara menari, memuja roh dan sebagainya tidak digalakkan di dalam Islam.
"Kita bimbang sekiranya umat Islam menyertainya, ia akan terjatuh ke dalam dosa syirik kepada ALLAH SWT.
"Saya ingin menasihatkan umat Islam agar sentiasa memelihara kemurnian akidah Islam masing-masing dengan mengelak daripada terlibat dalam festival seperti ini," katanya.
Festival Bon Odori yang sudah disambut di Jepun sejak 500 tahun lalu menampilkan persembahan tarian dengan dikaitkan bagi menghormati semangat nenek moyang dalam perayaan Buddha Jepun.
Amalan Buddha-Confucian ini berkembang menjadi musim cuti di mana keluarga berkumpul di tempat kelahiran nenek moyang, melawat dan membersihkan kubur mereka.
Sementara itu, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata, sambutan Festival Bon Odori Pulau Pinang yang dijadualkan pada 30 Julai ini akan tetap diadakan seperti biasa.
Beliau turut terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan menteri berhubung festival yang diadakan sejak 10 tahun itu di negeri ini.
"Saya memang tidak sangka dan agak terkejut dengan kenyataan menteri mengenai festival tersebut. Ini kerana, ia tidak melibatkan unsur keagamaan malah tiada sebarang unsur pemujaan atau sembahyang diadakan ketika festival berlangsung.
"Festival ini diadakan sebagai tanda persahabatan antara Malaysia dan Jepun. Secara tidak langsung, ia dapat membantu merangsang ekonomi serta pelancongan di Pulau Pinang," katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri tidak boleh menghalang sesiapa sahaja yang akan menyertai festival tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!