Tujuh mata wajib Harimau Malaya

Pemain Harimau Malaya kini sedang giat menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2023.
FOTO-FAM
Pemain Harimau Malaya kini sedang giat menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2023. FOTO-FAM
A
A
A

KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengekalkan sasaran untuk mengutip tujuh mata dalam tiga perlawanan kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 yang akan membuka tirainya pada Rabu.

Pengendali kelahiran Korea itu berkata, jika jumlah mata itu berjaya dikutip, ia dilihat mampu mencerahkan peluang skuad negara untuk melayakkan diri ke kejohanan bola sepak berprestij di Asia itu.

Justeru, pengendali kelahiran Korea itu berharap anak buahnya mengutip tiga mata penuh bertemu Turkmenistan pada perlawanan pertama kumpulan E kelayakan Piala Asia pada Rabu di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Jika kita nak layak (Piala Asia), saya fikir tujuh mata mampu melayakkan kita ke kejohanan itu. Jadi perlawanan pertama menentang Turkmenistan ini sasarannya adalah untuk meraih tiga mata.

“Bagaimanapun kami akan menggunakan pendekatan yang sama seperti pasukan yang lain iaitu fokus satu perlawanan terlebih dahulu sebelum perlawanan yang seterusnya.Sebab kita tidak tahu mungkin perlawanan kedua kita dapat tiga mata lagi atau aksi ketiga nanti.

"Jika mahu ke pusingan akhir Piala Asia kita perlu mendapatkan tujuh mata dan kami akan cuba mencapai sasaran itu," katanya pada sidang media pra perlawanan menentang Turkmenistan pada Rabu.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan tidak pernah bertemu dalam mana-mana perlawanan antarabangsa sama ada di peringkat muda atau senior.

Dalam pada itu Pan-gon mengakui beliau agak teruja untuk memulakan kempen kelayakan kali ini dan memberitahu pasukannya kini sudah bersedia untuk memberikan aksi terbaik kepada penyokong pasukan Harimau Malaya.

Jelas beliau, pendekatan yang sama iaitu mahu mendominasi permainan dan memenangi perlawanan bakal digunakan dalam misi mencari tiga mata penuh pada perlawanan pertama.

“Kami sudah menunggu lama untuk perlawanan ini. Kami juga sudah bersedia memberikan aksi terbaik untuk semua penyokong Malaysia selain pastinya mahu mendapatkan keputusan yang terbaik pada aksi pertama.

"Seperti kebiasaan, kami pilih pendekatan untuk menang dan mendominasi setiap perlawanan tanpa mengira lawan. Bagaimanapun ia bergantung kepada taktikal pihak lawan.

“Kami juga sudah menganalisa lawan dan saya cukup yakin perlawanan akan berlangsung rancak," katanya.

Pada masa yang sama beliau turut berharap permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil pada perlawanan pertama berada dalam keadaan baik kerana venue yang sama digunakan pada perlawanan sebelah petang.

“Kami akan cuba menyesuaikan diri dalam apa juga keadaan sekalipun dalam misi memburu tiga mata penuh pada perlawanan tersebut,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!