PH Melaka diminta telus, terbuka
MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka diminta lebih bersikap telus dan terbuka berhubung latar belakang akademik setiap wakil rakyat negeri ini.
Ketua Pembangkangnya, Datuk Seri Idris Haron berkata, perkongsian kepada umum bagi membolehkan rakyat mengetahui mengenai pencapaian pendidikan setiap ahli Exco dan mengelakkan tanggapan negatif.
Menurutnya, pada Persidangan DUN lalu, beliau meminta kerajaan negeri mendedahkan latar belakang pendidikan setiap Exco kepada masyarakat umum.
"Ketika itu Ketua Menteri, Adly Zahari berjanji untuk menjawab menerusi jawapan bertulis kepada saya. Apabila menerima jawapan bertulis, saya tidak berpuas hati
"Ini kerana jawapan yang diterima makluman mengenai perkara ini adalah sulit, seolah-olah kerajaan negeri menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan umum," katanya.
Idris berkata, tahap akademik seseorang pemimpin bukanlah sesuatu yang sulit dan rakyat berhak mengetahui mengenai perkara itu seperti berlaku pada pentadbiran BN sebelum ini.
Pada persidangan ke-14 itu, Idris yang juga ADUN Sungai Udang memberi soalan untuk mengetahui mengenai latar belakang akademik ahli Exco dan wakil rakyat kerajaan negeri PH kepada Adly.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!