MRT laluan Putrajaya Fasa Dua dijangka beroperasi Januari tahun depan

Pengarah Projek MRT Laluan Putrajaya, Datuk Amiruddin Ma’aris ketika taklimat mengenai Mass Rapid Transit (MRT) laluan Putrajaya fasa satu yang sedia untuk beroperasi di stesen MRT Kampung Batu, pada Selasa. - Foto Bernama
Pengarah Projek MRT Laluan Putrajaya, Datuk Amiruddin Ma’aris ketika taklimat mengenai Mass Rapid Transit (MRT) laluan Putrajaya fasa satu yang sedia untuk beroperasi di stesen MRT Kampung Batu, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya Fasa Dua dari Kampung Batu ke Putrajaya Sentral kini sudah mencapai tahap 98 peratus siap, kata Pengarah Projek MRT Putrajaya Line Datuk Amiruddin Ma'aris.

Beliau berkata, operasi fasa dua dijangka bermula Januari tahun depan sekali gus akan membolehkan tren melalui keseluruhan laluan dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral.

"Antara aktiviti sedang dijalankan termasuk kerja seni bina, jalan penghubung, landskap serta pengujian dan pentauliahan," katanya pada taklimat media pembukaan MRT laluan Putrajaya Fasa Satu dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu yang dijangka dibuka kepada orang ramai bermula Khamis depan (16 Jun) pukul 3 petang.

MRT laluan Putrajaya Fasa Satu sepanjang 17.5 kilometer meliputi sembilan stesen baharu dan tiga stesen merupakan sebahagian daripada MRT Laluan Kajang.

Sembilan stesen baharu yang akan dibuka adalah Damansara Damai, Sri Damansara Barat, Sri Damansara Sentral, Sri Damansara Timur, Metro Prima, Kepong Baru, Jinjang, Sri Delima dan Kampung Batu, manakala tiga stesen yang sebelum in merupakan sebahagian daripada MRT Laluan Kajang ialah Kwasa Damansara, Kampung Selamat dan Sungai Buloh.

Penumpang boleh bertukar antara tren MRT Laluan Putrajaya dan MRT Laluan Kajang di Kwasa Damansara dan laluan baharu itu juga dihubungkan dengan perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu (KTM) Sungai Buloh, Sri Damansara Timur (dengan Stesen KTM Kepong Sentral) dan Kampung Batu.

Di Stesen Kampung Batu, penumpang boleh meneruskan perjalanan ke pusat bandar Kuala Lumpur dengan pertukaran ke laluan KTM Komuter Batu Caves-Pulau Sebang atau menggunakan Bas Rapid KL No 173 untuk ke Lebuh Ampang atau perkhidmatan bas percuma Go KL Laluan Merah Manggis.

Operasi tren secara automatik tanpa pemandu itu melibatkan 20 set tren dengan empat gerabak setiap set dan mempunyai kapasiti membawa seramai 1,200 penumpang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!