Fasiliti, bangunan HSA perlu dinaik taraf
SHAH ALAM – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggesa agar fasiliti dan bangunan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru dinaik taraf.
Menerusi ciapan di twitter rasminya, Muda berkata, gesaan itu supaya rakyat dapat terus menikmati perkhidmatan kesihatan yang baik.
“HSA adalah antara hospital terbesar di negara dengan jumlah pesakit yang tinggi. Fasiliti dan bangunan hospital perlu dinaik taraf supaya rakyat terus menikmati perkhidmatan kesihatan yang baik,” katanya pada Selasa.
Parti itu berkata demikian ketika mengulas mengenai ciapan seorang pemilik twitter yang berkongsikan kemudahan uzur dan rosak di HSA, Johor Bahru.
Dalam perkongsiannya itu, dia telah memuat naik beberapa keping gambar menunjukkan beberapa fasiliti seperti kipas yang tidak berfungsi serta sarung bantal yang koyak di hospital berkenaan.
Dalam pada itu, Muda turut menggesa agar pihak berkuasa untuk memberi tumpuan kepada HSA berkenaan perkara tersebut.
“Mohon pihak berkuasa beri tumpuan kepada HSA,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!