Malaysia perlu tegas isu menghina Nabi Muhammad

Salahuddin
Salahuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia harus menyuarakan pendirian tegas terhadap kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW yang dikeluarkan oleh jurucakap Perdana Menteri India, Nupur Sharma.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Salahuddin Ayob berkata, sebagai negara Islam, Malaysia seharusnya mempertahankan maruah Islam dalam isu ini.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mesti membuat pendirian yang kuat dan tegas menentang perkembangan di India terhadap diskriminasi umat Islam bagi menunjukkan komitmennya terhadap hak-hak Muslim sebagai minoriti di India,” dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelasnya, reaksi Malaysia tentang isu ini amat mengecewakan dan insiden terbaru ini bukanlah peristiwa terpencil, kerana sebelum ini telah berlaku banyak siri tindakan provokasi berterusan ke atas umat Islam di India dan lebih-lebih lagi di Kashmir.

“Sekiranya kerajaan India meneruskan siri serangan mereka ke atas masyarakat Islam dan kerajaan kita membuat pendirian yang sangat lemah, ia mungkin menimbulkan tindak balas yang tidak diingini terhadap orang India yang mematuhi undang-undang di Malaysia yang tidak sewajarnya berlaku,” ujarnya.

Salahuddin berkata, negara Islam telah membuat kenyataan dan pendirian yang tegas dalam isu ini bermula dengan memanggil duta-duta India di negara masing-masing dan memboikot perdagangan barangan India.

“Kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW yang dikeluarkan oleh jurucakap Perdana Menteri India, Nupur Sharma sewajarnya dikecam oleh seluruh umat Islam.

“Sebagai jurucakap Perdana Menteri India, dia seharusnya sedia maklum akan implikasi serius yang akan berlaku rentetan dari kenyataan yang dikeluarkan," ujarnya.

Menurutnya, Sharma pasti mengetahui pemikiran dan kecenderungan Perdana Menteri, Narendra Modi dalam semua isu terutamanya isu sensitif melibatkan hal ehwal umat Islam kerana beliau telah membuat banyak kenyataan kontroversi terhadap umat Islam pada masa lalu.

“Menggantung tugas jurucakap itu adalah satu tindak balas yang sangat lemah dan tidak setimpal berbanding kesan luka mendalam kepada umat Islam.

"Pemimpin-pemimpin dan kerajaan India sendiri telah menunjukkan sikap buruk dan penghinaan yang besar terhadap umat Islam selama ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!