Menyambut kemerdekaan ke-100
SEHARUSNYA kita belajar daripada sejarah. Mengambil iktibar dari masa lalu, menguruskan masa kini serta merancang masa depan. Inilah yang seharusnya menjadi panduan para pemikiran, arkitek dan perancang negara.
Jika sejarah penjajahan tidak berulang, pada 43 tahun lagi, lengkaplah negara merdeka selama 100 tahun. Sedangkan tanah air ini dijajah selama 446 tahun oleh beberapa negara: Portugis, Belanda, Jepun, Siam, British.
Tidak mudah merungkai sebuah legasi penjajahan yang berakar sebegitu lama kepada kemerdekaan sejati.
Ketika Rasulullah SAW masih hidup banyak pesan Baginda untuk mengingatkan peristiwa bakal berlaku pada akhir zaman. Demikian Baginda membawa pemikiran futuristik. Baginda memberi gambaran apa akan berlaku jika umat leka daripada menunaikan perintah ALLAH SWT.
Tujuannya ialah agar kita beringat, bersiap dan berwaspada. Bukan menyerah kepada nasib.
Pada waktu tanah Melayu ini wujud zaman berzaman, para penghuninya tidak tahu bagaimana rupa tanah air ini 60 tahun akan datang.
Kedatangan Islam juga tidak mereka sangka. Tanah Melayu termasuk dalam peta sejarah kesultanan Islam di alam Nusantara. Sehinggalah datang penjajah. Landskap sosioekonomi dan politik negara berubah. Tanah air ini dijajah pada 1511. Agama dan ekonomi anak watan dipinggirkan.
Bila merdeka pada 1957, peluang untuk kembali mengukuhkan kedudukan Islam dan bangsa di negara ini digerakkan sedikit demi sedikit. Banyak yang dilakukan namun banyak juga yang gagal mencapai hasil.
Sehingga saat ini umur tanah air yang berdaulat dan merdeka sudah mencecah 62 tahun. Bermakna pada tahun 2057 kemerdekaan 100 tahun akan disambut. Apakah senario yang bakal berlaku?
Politik, ekonomi, sosial, agama, hubungan antara kaum, sumber dan kualiti alam sekitar, urus kelola, pembangunan?
Negara telah melalui fasa pembangunan yang dapat dikesan sepanjang 62 tahun. Jelas mengejar tahap negara maju menjadi idaman. Dengan kemajuan teknologi dan budaya hidup moden, kita melihat wajah Malaysia berubah.
Senario politik dan urus kelola negara dengan segala corak dan bentuknya, berubah sangat nyata. Masalah juga semakin rencam.
Dengan pertambahan penduduk pada kadar yang ada, pada tahun 2057 akan memperlihat tanah air Malaysia jauh berbeza dari apa yang ada pada tahun 2019 sekarang.
Populasi dijangka mencecah lebih 60 juta. Pecahan bangsa dan etnik juga pasti berubah. Komposisi dan dinamika pengurusan politik juga bakal melalui transformasi di luar dugaan.
Demikian juga aliran ekonomi dengan segala dinamikanya akan melalui perubahan yang belum tentu siapa bakal menguasai.
Bumiputera atau orang luar? Malah bagaimanakah penguasaan kek ekonomi negara akan tercorak, pun tidak dapat diduga. Bagaimana ekonomi global memberi kesan kepada ekonomi lokal 50 tahun mendatang berbeza daripada apa yang ada sekarang.
Dengan yang demikian, pola hubungan antara kaum dan agama mungkin sahaja akan berlainan sama sekali. Sentimen antara kaum dan agama mungkin berbeza tatkala komposisi dan penguasaan kerajaan berubah oleh sistem politik yang tidak sama dengan apa yang ada sekarang.
Senario penganut Islam dari pelbagai kaum dijangka boleh merubah sosiopolitik negara. Komposisi politik yang bermunculan 50 tahun lagi tidak boleh diduga apabila cara berfikir warga tanah air akan berubah.
Harus diingat pada ketika itu keadaan sumber bumi tidak akan berada seperti sekarang: air, udara, minyak, galian, hutan, pantai, laut, bukit dan tanah, akan menjadi sumber bagaikan emas yang sangat mahal.
Dengan corak dan gaya konsumsi penduduk sekarang, sumber bumi akan pupus pada kadar yang mengerikan 50 tahun lagi.
Jika ada ketegangan antara negara yang boleh mencetuskan perang besar pada masa depan ialah perebutan untuk mendapatkan sumber alam bagi melanjutkan kehidupan negara masing-masing.
Walaupun dikatakan teknologi tercanggih boleh menjadikan kehidupan jauh lebih mudah, segalanya di hujung jari, akan tetapi keperluan manusia yang asasi tetap akan sama.
Kini ketegangan antara ideologi dieksploitasi oleh industri persenjataan dunia. Hanya mereka yang berwawasan 50 tahun ke hadapan akan dapat memeta bagaimana negara ini boleh kekal sebagai yang bermaruah dan berdaulat.
* Penulis ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!