'Hadiah' terakhir suami
KAMPAR - Seorang wanita berazam untuk menjaga 'hadiah' terakhir dari suaminya, Mohd Nazri Sham Aring, 42, yang maut dalam nahas akibat pemandu mabuk di Kilometer 1, Jalan Kuala Dipang - Malim Nawar, Ahad lalu.
Yusnasiha Mohamad Salleh, 33, berkata, arwah suaminya seharian tersenyum kegembiraan selepas dimaklumkan kandungan keempat sudah berusia lima minggu.
"Petang itu kami meraikan kesyukuran apabila tahu saya mengandung. Dia tersenyum dan teka zuriat ini bin atau binti berikutan kami mempunyai tiga lelaki.
"Dalam hati saya tahu yang dia mengharapkan zuriat kali ini perempuan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tebing Tinggi di sini pada Selasa.
Menceritakan kembali tragedi itu, Yusnasiha berkata, mereka bersama anak bongsu, Umar Nadim berusia tiga tahun baru dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Tualang Sekah di sini.
Menurutnya, mereka baharu selepas selesai makan malam bersama di restoran berhampiran di pekan Kampar.
"Ketika kejadian saya hanya nampak cahaya lampu yang terang sebelum terasa impak kuat pada dada. Saya sebut 'Allahuakbar' suami pun sahut.
"Orang awam bantu saya keluar dan saya terus teringatkan anak di belakang kereta (tempat duduk). Mereka baringkan anak di sebelah sebelum kami dibawa ke Hospital Kampar," katanya.
Dia mengalami calar dan lebam pada wajah dan seluruh badan mengharapkan anak bongsunya yang kini menerima rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) segera sembuh.
"Umar Nadim ditidurkan selepas mengalami pendarahan dalam kepala serta retak pada tengkorak selain tangan kanannya patah dan kakinya disimen.
"Saya bersyukur kandungan ini tidak terjejas. Saya akan jaga sebaiknya kerana ini hadiah terakhir dari suami. Saya akan kuat demi anak-anak," katanya.
Yusnasiha berkata, hukuman setimpal wajar dikenakan terhadap pemandu yang telah menyebabkan kemalangan sehingga meragut nyawa suaminya itu.
"Biarlah pelaku dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu.
"Masyarakat juga dapat mengambil iktibar kejadian ini dan meminta semua pengguna jalan raya bertanggungjawab terhadap nyawa sendiri dan orang lain," katanya.
Arwah Mohd Nazri Sham meninggalkan seorang balu dan tiga anak lelaki berusia 11 dan 8 tahun selain Umar Nadim dan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tualang Sekah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!