MGJA-UiTM rancang tubuh Akademi Golf Malaysia

Dr Roziah (dua, kiri) bersama Irmohizam Ibrahim (tengah) bergambar selepas Majlis Menandatangani Dokumen Persefahaman di antara MGJA bersama FSR di Bangunan Canselori UiTM Shah Alam pada Selasa. - Foto Bernama
Dr Roziah (dua, kiri) bersama Irmohizam Ibrahim (tengah) bergambar selepas Majlis Menandatangani Dokumen Persefahaman di antara MGJA bersama FSR di Bangunan Canselori UiTM Shah Alam pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Golf Junior Malaysia (MGJA) berhasrat untuk mewujudkan kerangka program Akademi Golf Malaysia Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam usaha melahirkan pemain berkualiti dalam bidang sukan dan akademik.

Presidennya Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, kerjasama antara MGJA dan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) UiTM itu termasuk menggunakan kemahiran serta kepakaran yang dimiliki oleh persatuan itu untuk diketengahkan kepada pemain di peringkat muda dalam usaha melahirkan pemain golf profesional.

“Namun perincian lanjut berhubung penubuhan akademi itu masih dalam peringkat perbincangan antara MGJA dan FSR untuk diperhalusi,” katanya pada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara persatuannya dan fakulti tersebut pada Selasa.

MoU itu dimeterai oleh Irmohizam dan Timbalan Presiden Mohd Zurie Harun mewakili MGJA manakala UiTM diwakili Naib Canselor Professor Datuk Dr Roziah Mohd Janor serta Dekan FSR Profesor Dr Mohad Anizu Mohd Nor.

Sementara itu, Roziah berkata, penubuhan akademi tersebut dijangka dilaksanakan dalam tempoh dua tahun selepas mendapat ketetapan daripada Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Belia dan Sukan.

“Namun setakat ini belum ada perbincangan (berhubung akademi itu) di peringkat Majlis Eksekutif UiTM. Kami akan bawa hasrat ini melalui satu kertas kerja daripada FSR untuk dimajukan kepada majlis tersebut,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!