Harimau Muda mahu elak aib lebih besar
SELEPAS terlepas tiket ke suku akhir, skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara tidak rela terus dirundung kecewa apabila berdepan Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Asia B-23 2022 di Stadium Lokomotiv, Tashkent pada Rabu.
Justeru, Harimau Muda mahu menutup kempen mereka di bumi Uzbekistan dengan noktah kejayaan biarpun sedar tugas getir sekali lagi menentang skuad kendalian Brad Maloney itu.
Maloney berkata, anak-anak buahnya tetap bersemangat bagi menghadapi aksi menentang Vietnam bagi mengelak mereka pulang dengan tangan kosong selepas tewas kepada Korea Selatan dan Thailand sebelum ini.
“Ia bukan satu tugas mudah untuk menentang pasukan hebat seperti Vietnam. Seperti yang kita tahu, mereka merupakan juara Sukan SEA Hanoi baru-baru ini dan juga finalis (Piala Asia B-23) edisi lalu, namun saya merasakan pemain-pemain sudah tentu tidak mahu pulang dengan tangan kosong.
"Saya lihat mereka seolah-olah 'lapar' untuk mendapatkan mata selepas kempunan dalam dua perlawanan sebelum ini.
“Saya percaya mereka akan berjuang sehabisnya pada perlawanan esok (Rabu) untuk memberi ganjaran kepada diri masing-masing selepas sudah beraksi dengan baik pada kejohanan kali ini,” katanya.
Selepas mengharungi dua perlawanan, Malaysia menghuni tangga tercorot Kumpulan B apabila gagal memungut sebarang mata apabila tewas 1-4 kepada Korea Selatan sebelum mengalami kekalahan 0-3 kepada Thailand pada Ahad.
Dalam pada itu, Maloney berkata, beliau mungkin akan melakukan rombakan kesebelasan utama selepas beberapa pemain mengalami kecederaan selain tidak cukup cergas untuk diturunkan gara-gara kepenatan.
“Sudah tentu kami akan melakukan rombakan susulan beberapa pemain utama pasukan sudah penat selepas beraksi tanpa henti dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
“Mungkin saya akan menurunkan beberapa pemain yang jarang diturunkan sebelum ini. Kami mahu mereka merasai sendiri pengalaman beraksi pada kejohanan besar seperti ini.
“Ia sangat penting supaya mereka ini dapat pengalaman yang berguna memandangkan mereka masih layak untuk beraksi kerana usia mereka yang masih muda,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!