Warga emas maut dalam rumah kedai terbakar

Anggota polis mengusung mayat mangsa yang meninggal dunia dalam kebakaran di rumah kedai di Jalan Kasturi, Jonker Walk.
Anggota polis mengusung mayat mangsa yang meninggal dunia dalam kebakaran di rumah kedai di Jalan Kasturi, Jonker Walk.
A
A
A

MELAKA - Seorang warga emas wanita maut selepas tidak sempat menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran rumah kedai di Jalan Kasturi, Jonker Walk di sini, pada malam Selasa.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, mangsa Koo Kim Foong, 75, yang berada seorang diri di rumah sewa sebelum kejadian disedari anak lelaki mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz, mangsa maut dipercayai melecur tahap dua kira-kira 60 peratus.

Bagaimanapun anak lelaki mangsa yang menyedari kejadian itu gagal menyelamatkan mangsa disebabkan api marak.

"Mangsa ditemui di tingkat atas rumah kedai dua tingkat dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan melecur di bahagian paha dan perut sebelum disahkan meninggal dunia.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan AwamJabatan (JBPM) negeri, Mohd Hafifi Roslan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 9.37 malam dan dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah serta BBP Padang Temu diaktifkan ke lokasi kejadian.

"Kebakaran dapat dikawal jam 11.20 sebelum operasi tamat jam 11.27 malam.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis manakala punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!