Tiada lagi jurang digital untuk usahawan KPLB

DesaMall@KPLB bantu perniagaan luar bandar berkembang

A
A
A

Che Murad (empat dari kanan) bergambar bersama ketika meninjau booth salah satu rakan strategik DesaMall@KPLB.
Che Murad (empat dari kanan) bergambar bersama ketika meninjau booth salah satu rakan strategik DesaMall@KPLB.

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyasarkan lebih ramai usahawan luar bandar menyertai program DesaMall@KPLB.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, setakat ini seramai 3,101 usahawan luar bandar telah dilatih di bawah program tersebut.

Menurutnya, sebanyak RM 4.03 juta jualan terkumpul membabitkan usahawan luar bandar yang telah berdaftar dalam program DesaMall@KPLB berjaya direkodkan sejak Oktober 2017 sehingga 30 April tahun ini.

"Kita mahu menggalakkan lebih ramai usahawan luar bandar meneroka platform secara dalam talian ini sebab pasaran kini sudah beralih daripada perniagaan secara fizikal.

"Kita akan mempertingkatkan usaha untuk menarik lebih ramai usahawan kerana mungkin ada antara mereka yang tidak tahu bagaimana untuk mendaftar dalam platform ini.

"Program DesaMall@KPLB ini juga telah dirangka dengan tujuan untuk memperluaskan rangkaian perniagaan di samping meningkatkan hasil jualan produk usahawan luar bandar sehingga 30 peratus setahun melalui pemasaran dalam talian.

"Justeru, kita mensasarkan jumlah usahawan luar bandar yang menyertai program ini akan meningkat setiap tahun," katanya kepada media selepas merasmikan Program Pendigitalan Usahawan Luar Bandar di bawah Program DesaMall@KPLB di Dewan Seri Lestari Bangunan KPLB pada Selasa.

Seramai 216 usahawan luar bandar dan lapan rakan strategik telah menyertai program pendigitalan kali ini seperti Bank Islam, AgroBank, StoreHub, Mesinkira, SecurePay, Boost, Fasspay dan CELCOM, dengan pelbagai aktiviti disediakan antaranya seperti slot vertical dan sesi penerangan mengenai Desamall@KPLB.

Selepas ini, sesi pendigitalan tersebut akan diadakan di Pulau Pinang pada Julai dan di Sabah pada Ogos ini.

Che Murad mengambil peluang bertemu peserta pada Program Pendigitalan Usahawan Luar Bandar di bawah Program DesaMall@KPLB di Dewan Lestari Bangunan KPLB pada Selasa.
Che Murad mengambil peluang bertemu peserta pada Program Pendigitalan Usahawan Luar Bandar di bawah Program DesaMall@KPLB di Dewan Lestari Bangunan KPLB pada Selasa.

Menurutnya, Program Pendigitalan Usahawan Luar Bandar di bawah Program DesaMall@KPLB diadakan bagi merapatkan jurang digital dan membantu usahawan luar bandar untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan dan sebagai persediaan menjalankan perniagaan secara dalam talian.

"Melalui kursus atau latihan praktikal berkaitan pendigitalan perniagaan di bawah program ini, diharapkan usahawan yang hadir dapat memperluaskan penggunaan digital dalam urusan perniagaan.

“Bagi memastikan program yang dirangka adalah relevan dan selari dengan trend perniagaan digital semasa, program ini telah menjalinkan kerjasama strategik dan usahawan akan diberi pendedahan dalam empat modul iaitu kewangan, Sistem Point of Sales (POS), eWallet dan connectivity,” katanya.

Beliau berkata, dengan peluang yang telah disediakan oleh KPLB ini diharapkan akan dapat mengembangkan lagi perniagaan secara dalam talian membabitkan usahawan luar bandar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!