Pasaran bunga orkid diperluaskan
Produk florikultur itu sumbang nilai eksport negara RM417.3 juta
KOTA BHARU - Industri florikultur terutamanya bunga orkid menjadi salah satu penyumbang kepada nilai eksport negara apabila sebanyak RM417.3 juta telah berjaya direkodkan pada tahun lalu.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, nilai tersebut menunjukkan peningkatan berbanding RM403 juta pada tahun sebelumnya.
"Usaha memperluaskan pasaran produk florikultur kini giat dijalankan ke pasaran sedia ada dan baru melalui perundingan dua hala serta penyertaan aktif dalam ekspo florikultur, landskap dan pelancongan.
"Sektor ini akan kekal sebagai teras ekonomi dan pemangkin kepada perkembangan pengeluaran Orkid, Flora dan Herba Negara," katanya selepas merasmikan Pesta Orkid, Flora dan Herba 2022 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung di sini pada Jumaat.
Hadir sama Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau Dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
Menurutnya, pada tahun lalu pengeluaran bunga-bungaan negara dianggarkan berjumlah 414 juta keratan atau pasu dengan nilai RM270 juta.
Beliau berkata, permintaan yang semakin meningkat di pasaran global dalam industri florikultur memberi peluang kepada pengeluar tempatan untuk terus meneroka dan membangunkan ruang pasaran baharu.
Jelasnya, ia sekali gus dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara dari segi pendapatan dan kesan limpahan positif kepada pelbagai sector lain.
"Pihak kementerian akan sentiasa berusaha memajukan sektor florikultur negara bagi menjadikannya sebagai salah satu bidang yang menguntungkan dan mempunyai masa depan yang cerah.
"Malaysia mempunyai kelebihan dari segi kekayaan biodiversiti berupaya menjana dan meningkatkan sumbangan industri florikultur negara," katanya.
Menurutnya, pihak kementerian bersama jabatan dan agensi di bawah sentiasa berusaha untuk mensasarkan pembangunan usahawan untuk sektor florikultur.
Katanya, keupayaan untuk melihat perubahan pada masa hadapan merupakan satu kelebihan yang tidak ternilai sekiranya ia dimiliki oleh usahawan tani biar pun menghadapi risiko yang tinggi.
“Pengurusan yang cekap serta dibantu dengan strategi pemasaran berkesan akan membolehkan pelaburan dalam bidang florikultur mendapat pulangan yang baik,” katanya.
Sasar jualan RM3.5 juta
Sementara itu, MAFI menyasarkan pendapatan berjumlah RM3.5 juta sepanjang 11 hari Pesta Orkid, Flora dan Herba 2022.
Ahmad berkata, sasaran itu mampu dicapai berpandukan kepada jangkaan seramai 300,000 pengunjung akan singgah ke pesta berkenaan.
"Ini merupakan anjuran secara bersemuka buat julung kalinya selepas negara memasuki fasa peralihan endemik Covid-19," katanya.
Menurutnya, edisi ketujuh yang bermula jam 10 pagi hingga 11 malam itu menampilkan 170 usahawan dari seluruh negara memasarkan hasil pertanian mereka.
Beliau berkata, penganjuran pesta ini secara tidak langsung mampu membantu memulihkan semula ekonomi setempat dalam kalangan masyarakat.
Jelasnya, pada edisi 2019 lalu Pesta Orkid, Flora dan Herba berjaya mencatat nilai keseluruhan jualan berjumlah RM2.6 juta.
"Program bersifat serampang dua mata turut berperanan mempromosikan Ekspo Pertanian, Horikultur dan Agropelancongan Malaysia 2022 (MAHA) yang bakal berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MEAPS) Serdang bermula 4 Ogos," katanya.
- Bermula 2 Jun hingga 12 Jun 2022 dari jam 10 pagi hingga 11 malam.
- Pelbagai aktiviti jualan yang menarik diadakan seperti:- Jualan pelbagai jenis bunga orkid.- Jualan Florikultur (baja, anak pokok, pokok bunga dan landskap).- Jualan Produk Industri Asas Tani.- Jualan dan pameran pokok bonsai.- Jualan makanan popular.- Pendaftaran usahawan Agrobazaar Online.- Pelbagai aktiviti turut disediakan untuk pengunjung, antaranya:- Persembahan dikir barat.- Persembahan wayang kulit.- Ceramah selebriti tersohor.- Persembahan buskers artis terkenal tanah air.- Pertandingan bintang flora 2022 (karaoke).- Pertandingan nasyid peringkat sekolah rendah dan menengah.- Taman ‘garden lights’.- Taman permainan kanak-kanak (funfair).Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!